Peter Anthony masuk penjara hari ini

Peter Anthony, bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah (tahun 2018-2020).


PUTRAJAYA: Bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony kekal dipenjara tiga tahun serta didenda RM50,000 atas kesalahan memalsukan dokumen berhubung kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan di Universiti Malaysia Sabah (UMS), 11 tahun lepas.

Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim bersama Datuk Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin membuat keputusan itu hari ini selepas menolak rayuan akhir Peter bagi mengetepikan sabitan bersalah yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Mei 2022.

Mahkamah turut memerintahkan Ahli Dewan Undangan Negeri Melalap itu, menjalani hukuman penjara bermula hari ini.

Sebelum ini, Peter gagal dalam rayuannya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 18 April 2023 dan ini merupakan rayuan terakhir Peter di Mahkamah Rayuan.

Peter, sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati Sdn Bhd dituduh memalsukan surat Pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014, iaitu memasukkan pernyataan palsu dengan niat digunakan bagi tujuan menipu.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 13 Jun dan 21 Ogos 2014 mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama