Suryady cadang syarikat balak guna pengangkutan laut


TAWAU: Syarikat kayu balak disaran supaya menggunakan semula laluan laut bagi mengurangkan risiko kemalangan dan memelihara infrastruktur jalan raya terutamanya di kawasan Kalabakan.

Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy berkata, saranan itu dibuat selepas perbincangan bersama dengan agensi berkaitan dalam sesi libat urus keselamatan jalan raya, semalam.

Katanya, salah satu faktor utama kemerosotan jalan raya di daerah Tawau dan Kalabakan adalah penggunaan jalan awam oleh lori pengangkut kayu balak yang membawa muatan berat. 

“Keadaan jalan yang semakin teruk saban tahun bukan sahaja menimbulkan masalah kepada pengguna tetapi juga memerlukan kos pembaikan yang tinggi.

“Justeru, sebagai langkah jangka panjang, saya bersama agensi berkaitan mencadangkan supaya kaedah pengangkutan kayu balak dikembalikan ke laluan laut atau sungai,” katanya.

Beliau yang juga Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah berkata demikian ketika ditemui selepas program sesi libat urus pengurusan jalan raya Parlimen Kalabakan, di sini.

Suryady berkata, insiden di mana sebatang kayu balak terjatuh dan menghempap sebuah kenderaan yang hampir meragut nyawa pasangan suami isteri, baru-baru ini telah mendatangkan kebimbang orang awam.

“Saya memandang serius kejadian ini dan kita tidak mahu perkara serupa berulang disebabkan banyak lori-lori balak yang menggunakan jalan raya utama.

“Sebab itu, saya mengajak semua pihak berkaitan untuk meneliti, memperbaiki serta meningkatkan aspek keselamatan jalan raya,” katanya.

Menurutnya, projek pembinaan Lebuhraya Pan Borneo fasa ketiga yang merangkumi laluan Merotai-Kalabakan-Sapulut masih memerlukan masa yang lama untuk disiapkan. 

“Oleh itu, langkah segera perlu diambil bagi menangani masalah jalan rosak dan kemalangan yang berkaitan dengan pengangkutan kayu balak.

“Saya berharap pihak kerajaan dapat mempertimbangkan perkara ini secara serius kerana dua perkara akan dapat diselamatkan iaitu infrastruktur jalan raya dan nyawa pengguna jalan raya,” katanya.

Turut hadir, dalam program berkenaan ialah Pegawai Daerah Kalabakan, Murad Abdul Rashid serta wakil daripada Jabatan Kerja Raya (JKR), Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan Sabah (LPKP) dan Majlis Perbandaran Tawau (MPT).

Selain itu, turut hadir wakil Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Pejabat Perhutanan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama