KINABATANGAN: Usaha pemuliharaan gajah di Kinabatangan dilihat berhasil apabila lebih 20 ekor gajah liar kembali ke ladang rumput napier yang diusahakan oleh RESPonsible Elephant Conservation Trust (RESPECT) di Tanini, di sini.
Pengerusi RESPECT, Alexander Yee berkata kehadiran kumpulan gajah itu menandakan satu pencapaian dalam usaha mengurangkan konflik antara manusia dan gajah melalui penyediaan sumber makanan lestari.
Katanya, semua gajah itu mula memasuki kawasan ladang pada jam 6.45 pagi, menikmati rumput napier segar sambil diperhatikan oleh pelancong di sebuah rumah inap berhampiran.
“Kehadiran mamalia itu berterusan sehingga jam 5 petang, menjadikan kehadiran gajah kali ini lebih lama berbanding kunjungan pertama yang direkodkan pada Julai 2024.
“Kepulangan gajah ke ladang ini adalah bukti keberkesanan projek koridor makanan dan ia menunjukkan bahawa pendekatan yang dibuat adalah betul,” katanya.
Alexander berkata, pihaknya hanya mampu mewujudkan penyelesaian yang mampan bagi menangani konflik manusia dan gajah.
“Namun, usaha ini memerlukan sokongan jangka panjang daripada semua pihak, termasuk kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat setempat,’ katanya.
Mengulas mengenai projek ini, katanya, ladang rumput napier seluas satu ekar di Tanini ini pada mulanya adalah sebagai projek perintis pada April 2024 dengan kerjasama Intrepid Travel.
“Kejayaan itu telah mendapat perhatian pihak berkuasa, termasuk Menteri Pelancongan, Kebudayaan, dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Seri Panglima Christina Liew.
“Pada Januari 2025, projek ini diperluaskan kepada 33.35 ekar di sepanjang Rizab Riparian Kampung Bilit, sekali gus mewujudkan Koridor Makanan Gajah Borneo,” katanya.
Katanya, matlamat utama koridor ini adalah untuk menyediakan zon pemakanan khas bagi gajah liar dan mengelakkan daripada memasuki ladang kelapa sawit, pertanian atau perkampungan.
“Dengan adanya koridor makanan ini, kita dapat memastikan gajah kekal berada dalam kawasan yang selamat dan jauh dari kawasan manusia, sekali gus mengurangkan risiko konflik.
“Walaupun projek ini menunjukkan hasil yang positif, insiden melibatkan gajah liar masih berlaku. Baru-baru ini, seekor anak gajah memasuki sebuah rumah di Kalabakan, dipercayai mencari makanan dan air,” katanya.
Katanya, insiden sebegini menyerlahkan lagi keperluan mendesak untuk memperluaskan koridor makanan bagi menyediakan alternatif yang mampan untuk gajah liar sambil melindungi masyarakat tempatan.
“Kami komited dalam bekerjasama dengan agensi kerajaan, rakan kongsi dan komuniti tempatan bagi memastikan kejayaan inisiatif ini bagi kelangsungan jangka panjang gajah borneo,” katanya.