SPRM tahan pesara disyaki kemuka tuntutan palsu berjumlah RM60,000

 

Pengarah SPRM Sabah Datuk S. Karunanithy

KOTA KINABALU: Seorang pesara ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah selepas disyaki mengemukakan tuntutan butir matan palsu berjumlah kira-kira RM60,000.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia 60-an itu ditahan kira-kira jam 9.45 pagi tadi ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Cawangan Keningau.

“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan berkenaan antara Mac 2020 hingga Ogos 2021.

“Suspek juga disyaki mengemukakan dokumen tuntutan elaun penugasan Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atas nama anak dan isterinya sedangkan mereka tidak pernah hadir bertugas,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi, hari ini mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Beliau berkata, suspek akan dituduh di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu, Sabah pada 14 Mac ini.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama