MUIS sumbang lebih RM40 Juta kepada pembangunan pendidikan - Arifin

 

Ahmad Rizal (lima dari kiri) menyerahkan cek cura zakat perniagaan Celcom Timur (Sabah) kepada Malai Ali (empat dari kanan) disaksikan oleh Tun Musa (tengah).

KOTA KINABALU: Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) melalui zakat menyumbang sehingga RM40 juta setiap tahun kepada pembangunan pendidikan di negeri ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif berkata jumlah itu dimanfaatkan untuk bantuan pendidikan kepada para pelajar, dermasiswa serta program-program pendidikan.

"MUIS pada tahun lepas, telah mengumpul atau mengutip bayaran zakat sejumlah RM134 juta dan antara penyumbang terbesar kepada zakat ini adalah zakat penggajian lebih kurang lima peratus, manakala yang kedua adalah zakat perniagaan.

"Kita telah menyumbangkan atau mengagihkan semua yang telah diberikan kepada MUIS untuk semua asnaf yang berkenaan. 

"Salah satu sumbangan besar MUIS melalui zakat ini adalah bidang pendidikan yang mana pada setiap tahun lebih RM40 juta kita sumbangkan atau kita keluarkan untuk pembangunan pendidikan. Ini termasuklah dermasiswa, bantuan pendidikan kepada pelajar-pelajar kita sejumlah RM20 juta pada setiap tahun dan selebihnya untuk guru-guru zakat, untuk program-program pendidikan dan sebagainya.

"Ini juga adalah sumbangan daripada bahagian zakat dan fitrah hasil daripada kutipan atau sumbangan atau hak yang telah ditunaikan oleh para penyumbang atau para pembayar zakat," jelasnya.

Arifin yang juga Exco Agama dan Pendidikan Negeri Sabah memaklumkan sehingga Mac ini, MUIS berjaya mencatatkan RM12,941,574.33 pungutan zakat berbanding agihan yang berjumlah RM48,545,878.90 dan menyasarkan RM140 juta pungutan zakat pada tahun depan.

"Sehingga Mac ini, ada lebih RM12 juta dan kita akan sasarkan seperti mana tahun lepas tetapi bayaran atau agihan meningkat sehingga empat kali ganda.

"Pada tahun lalu sahaja, kita punya kutipan RM134 juta tetapi agihan kita RM174 juta dan ini zakat-zakat yang terbaki kita berikan terus atau kita agihkan terus kepada asnaf-asnaf berkenaan. 

"Sasaran tahun depan insyaAllah mudah-mudahan meningkat daripada RM134 mungkin RM140 insyaAllah," katanya kepada media selepas majlis penyerahan zakat perniagaan oleh Celcom Timur (Sabah) Sdn. Bhd. dan THP Sabaco Sdn. Bhd. di Istana Seri Kinabalu, hari ini.

Pada majlis tersebut, Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Musa Aman menyaksikan MUIS menerima zakat perniagaan masing-masing RM1 juta daripada Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Qhazanah Sabah Berhad, Datuk Ahmad Rizal Dahli mewakili Celcom Timur dan RM999,985.00 daripada Pengerusi TH Plantation Berhad dan THP Sabaco Sdn. Bhd, Datuk Dr. Ahmad Kushairi Din.

Hadir sama, Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ruslan Muharam, Timbalan Yang di-Pertua MUIS Datuk Malai Ali Malai Ahmad, Ketua Pegawai Eksekutif dan  Setiausaha MUIS, Ramlan Awang Ali dan Ketua Bahagian Zakat dan Fitrah MUIS, Iwansuzairie Hari.


(JABATAN PENERANGAN SABAH)


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama