![]() |
Tun Musa (tengah) merakamkan gambar kenangan bersama Sabin (tiga dari kiri) dan rombongan. |
KOTA KINABALU: Pemilik premis di Bandaraya Kota Kinabalu diarah melaksanakan ujian keteguhan struktur (integrity check) dalam kadar segera bagi memastikan keselamatan awam.
Menurut Mayor Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) Datuk Seri Dr. Sabin Samitah, pihaknya kini sedang menjalankan pengauditan dan surat peringatan juga telah dikeluarkan kepada semua pemilik bangunan termasuk kedai, pejabat dan bangunan yang dihuni orang awam.
"DBKK sedang membuat pengauditan kepada semua bangunan-bangunan yang berada di bawah jagaan DBKK yang telah berusia lebih daripada 40 tahun termasuk kedai-kedai, bangunan-bangunan pejabat, flat-flat dan juga kondominium terutama sekali bangunan-bangunan yang dihuni oleh orang awam sama ada disewa ataupun diuruskan oleh pengurusan.
"Jika diurus oleh syarikat-syarikat pengurusan, kita memang menghantar surat-surat peringatan kepada mereka untuk membuat integrity check kepada bangunan tersebut.
"Setakat ini, kita tidak memberikan tempoh namun kita meminta mereka membuat tindakan itu dengan segera. Walau bagaimanapun disebabkan oleh kejadian runtuhan baru-baru ini kita akan melihat kembali timeline tersebut," katanya ketika mengulas tindakan DBKK berhubung insiden lantai bangunan kedai yang runtuh di Segama, malam Jumaat lalu.
Beliau ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, pada Isnin.
Sabin berkata kunjungan tersebut bertujuan untuk menjemput Tun Musa hadir ke Majlis Berbuka Puasa DBKK yang akan diadakan di ibu negeri, Rabu ini.
"Pada pagi ini, kami daripada DBKK memaklumkan kepada Tuan Yang Terutama Tun dan menyampaikan jemputan Majlis Berbuka Puasa Dewan Bandaraya Kota Kinabalu pada 12 Mac ini.
"Majlis ini juga akan dihadiri lebih kurang 1,000 orang dan kebanyakannya terdiri daripada pegawai dan staf DBKK. Antara program yang kita adakan pada hari tersebut ialah penyampaian bantuan kepada anak-anak yatim.
"Ketua Menteri Sabah juga akan bersama-sama dengan beberapa pegawai kabinet yang lain akan hadir dalam majlis tersebut, selain pegawai-pegawai tinggi dan kanan kerajaan negeri dan Persekutuan," jelasnya.
Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Sektor Khidmat Pengurusan Faradillah Abdul Rani dan Timbalan Ketua Pengarah Sektor Pembangunan Luar Bandar Karaim Rahim.
(JABATAN PENERANGAN SABAH)