KOTA KINABALU: Isu kenderaan berat membawa lebih muatan di jalan raya di Sabah perlu diberi perhatian serius kerana menjadi punca utama kerosakan jalan, terutama di laluan yang sudah uzur dan melebihi jangka hayat luput.
Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Shahelmy Yahya berkata, situasi itu bertambah buruk apabila faktor cuaca turut mempengaruhi ketahanan jalan raya.
Beliau berkata, isu itu telah dibangkitkan di peringkat Dewan Rakyat bersama wakil-wakil parlimen lain dari Sabah bagi mencari penyelesaian jangka panjang.
“Saya telah menyuarakan perkara ini kepada rakan-rakan parlimen Sabah yang lain berkenaan kejadian overloading atau lebihan muatan ini.
"Apabila jalan yang sudah uzur menerima tekanan daripada lebihan muatan secara berterusan, lebih-lebih lagi dalam keadaan cuaca buruk, ia akan menyebabkan kerosakan yang lebih teruk," katanya.
Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya Sabah, meminta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk memainkan peranan lebih proaktif dalam memantau dan menguatkuasakan peraturan berkaitan kenderaan lebihan muatan.
Jelasnya, Setiausaha Tetap Kementerian telah memaklumkan kepada JPJ agar tindakan penguatkuasaan dapat dipertingkatkan.
"Kita telah meminta kerjasama erat daripada JPJ, kerana bidang kuasa untuk mengawal kenderaan lebihan muatan di jalan raya ini terletak di bawah bidang kuasa mereka," tambahnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Bulan Ramadan dan Sambutan Perayaan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Negeri Sabah Tahun 2025 Di Daerah Putatan di Teluk Dumpil, di sini pagi tadi.