![]() |
TAWAU: Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy, hari ini merakamkan penghargaan kepada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Sabah atas keprihatinan membantu komuniti nelayan di kawasan Parlimen Kalabakan.
Suryady menyatakan rasa terima kasih kepada Pengarah LKIM Sabah, Mohd Jamil Abdullah, yang mengetuai kunjungan hormat ke pejabatnya di Jalan Utara, Tawau.
Kunjungan itu bertujuan membincangkan perkembangan terkini serta status permohonan penubuhan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kalabakan, yang dijangka direalisasikan pada Jun 2025, selepas mendapat kelulusan dalam Mesyuarat PNK Tawau pada 26 Mac ini.
Suryady berkata, selain itu, Mohd Jamil turut memaklumkan jumlah bantuan yang telah dan sedang disalurkan kepada nelayan di kawasan itu.
“Antara isu utama yang dibincangkan termasuk proses akhir naik taraf jeti-jeti nelayan di Parlimen Kalabakan, yang diharap dapat mempercepatkan kemudahan infrastruktur bagi komuniti nelayan,” katanya.
Beliau yang juga Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat pengurusan LKIM Sabah ke Pejabat Ahli Parlimen Kalabakan, di sini hari ini.
Menurutnya, sebagai sebahagian daripada inisiatif membantu nelayan setempat, LKIM Sabah turut menyampaikan bantuan kepada 24 nelayan dari beberapa kampung termasuk Kampung Wallace Bay Sebatik, Tanjung Batu, Merotai Besar, Kalabakan, Haji Matahir dan kawasan lain.
“Bantuan yang diberikan merangkumi sebuah tong ais dan tong ikan berkapasiti 100 liter serta tiga utas pukat bagi setiap penerima.
“Usaha LKIM Sabah ini adalah dilihat sebagai satu inisiatif murni yang memberi impak besar kepada kehidupan nelayan kecil,” katanya.
Beliau berkata, bantuan yang diberikan hari ini bukan sahaja dapat meringankan beban mereka tetapi juga membantu meningkatkan hasil tangkapan serta ekonomi keluarga masing-masing.
“Saya berharap agar kelulusan PNK Kalabakan dapat disegerakan supaya lebih banyak bantuan dapat disalurkan dengan lebih sistematik dan menyeluruh.
“Saya menyeru semua pihak berkepentingan untuk bersama-sama memastikan proses ini berjalan lancar mengikut jadual, kerana persatuan ini akan menjadi platform penting dalam membela nasib nelayan serta memastikan kebajikan mereka terus terpelihara.
“Bantuan yang diberikan ini juga mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan sektor perikanan kecil tidak dipinggirkan, sekali gus memperkukuhkan ekonomi nelayan di kawasan luar bandar seperti Kalabakan,” katanya.
Turut hadir, Pengarah LKIM Sabah, Mohd Jamil Abdullah; Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen Kalabakan, Saripudin Nuhalim dan Pengurus Besar PNK Tawau Syazalee Sahabuddin.