![]() |
Anggota-anggota bomba segera menjalankan operasi memadam kebakaran sebaik tiba di lokasi kejadian. |
TAWAU: Penduduk di Kampung Titingan, di sini cemas selepas sebuah rumah terbakar kira-kira jam 5 petang, semalam.
Dalam kejadian itu juga, terdapat dua lagi buah rumah berhampiran turut terjejas akibat terkena bahang api kebakaran.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 5.13 petang.
Beliau berkata, sepasukan 18 anggota bersama jentera digerakkan ke lokasi kejadian untuk menjalankan operasi memadam kebakaran.
“Pasukan bomba yang tiba di lokasi terus menjalankan operasi pemadaman dengan menggunakan sumber air dari jentera dan pili bomba.
“Operasi turut dibantu oleh pasukan Bomba Komuniti Kampung Titingan dengan menggunakan dua pam angkut dari sumber pili bomba,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.
Menurutnya, kebakaran itu telah menjejaskan tiga buah rumah iaitu sebuah musnah sepenuhnya dan dua lagi terkena bahang api.
“Semua mangsa berjaya menyelamatkan diri dan tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan berlaku dalam kejadian itu.
“Setelah memastikan tiada bahaya lain yang wujud, pasukan bomba menamatkan operasi pada jam 6.09 petang,” katanya.