![]() |
Foto ihsan Bomba |
KENINGAU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam sungai di Kampung Baginda, Keningau, di sini hari ini.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, Sharudin Delamin, pihaknya menerima panggilan berhubung insiden itu pada jam 3.18 petang.
Pihaknya segera mengerahkan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau dan tiba pada jam 3.26 di lokasi kejadian.
"Setibanya di lokasi kejadian, operasi mencari dan menyelamat (SAR) segera dijalankan di sekitar kawasan terakhir mangsa dilaporkan hilang, termasuk di tebing sungai sejauh 100 meter," katanya.
Siasatan awal mendapati mangsa disedari hilang oleh keluarganya pada jam 12.15 tengah hari, sebelum seliparnya ditemui berhampiran batu di tepi sungai.
Operasi SAR melibatkan 11 anggota bomba bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), serta penduduk kampung.
Bagaimanapun, sehingga jam 6.20 petang, mangsa masih belum ditemui dan operasi ditangguhkan sebelum disambung semula esok.
"Sebarang perkembangan terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa," ujarnya.