KOTA KINABALU: Buat julung kalinya, Polis Diraja Malaysia Kontinjen Sabah bekerjasama dengan Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Sabah ke arah memantapkan lagi kefahaman tentang kamera digital, kemahiran serta penguasaan fotografi.
Ia direalisasikan menerusi Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) Tatacara Mengambil Gambar yang melibatkan 50 anggota Pangkat Rendah (APR) dikendali tiga panel penceramah JAPEN Sabah selama tiga hari berakhir Jumaat lalu, di Mess Pegawai Kanan Polis, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah.
Sepanjang tempoh LDP, para peserta didedahkan secara teori dan praktikal berkaitan kawalan asas penggunaan Kamera DSLR (Digital Single-Lens Reflex) dan telefon pintar untuk menjana foto yang lebih berkualiti berasaskan beberapa aspek seperti setting shutter speed, aperture, iso/asa, speed flash, death of field, slow/ high panning dan zooming technique serta teknik bacaan pencahayaan normal oleh Jurufotografi Kanan JAPEN Sabah, Volintine Jiloh sambil dibantu oleh Marusin Minuddin.
Selain itu, para peserta turut dibekalkan dengan pengetahuan asas berhubung protokol majlis rasmi kerajaan oleh Wartawan Kanan JAPEN Sabah, Zuraidah Ahmad sebagai pelengkap kepada Jurufoto Sang Saka Biru melaksanakan tugas di lapangan dengan sempurna.
Bagi peserta, Sub Inspektor Harris Kahar, 59, LDP yang diadakan amat bertepatan dengan keperluan dan mencadangkan agar ia diadakan dalam siri LDP seterusnya bagi membolehkan lebih ramai anggota mendapat manfaat.
"Ini kali pertama diadakan dan saya tengok perjalanan kursus ini sangat berjaya. Yang sebenarnya, mereka ni (para peserta) sudah ada basic, tinggal diluruskan saja. Mana yang ada bengkok sikit, sekarang sudah lurus. Selepas ini, kami boleh guna ilmu ini untuk kerja kami di luar, kalau boleh kursus seperti ini kita adakan lagi," ujarnya.
Senada dengan pendapat beliau, peserta dari Ibu Pejabat Daerah (IPD) Sandakan, Sarjan Saporah Gimak yang mengusulkan agar kamera dibekalkan ke semua daerah bagi memastikan pelaksanaan tugas berjalan dengan efisien dan berkualiti.
"Ini kali pertama saya mengikuti kursus seperti ini sejak saya masuk pada tahun 2020. Memang benda ni sebenarnya kita lama sudah inginkan. Kita mahu menambah baik lagi kerja-kerja kita di daerah sebab memang diperlukan sangat.
"Di daerah kita tidak terima bekalan kamera. Saya hanya menggunakan telefon sendiri, ada anggota yang bawa kamera sendiri. Sebab macam kita yang mungkin kurang berkemampuan hanya menggunakan telefon yang murah. So dia punya, kamera itu tidak seberapa clear, mungkin dia tidak mendatangkan hasil yang cantik," jelas Saporah.
LDP tersebut anjuran oleh Cawangan Latihan, Jabatan Pengurusan Kontinjen Sabah yang diselaraskan oleh SM Hamdan Mohamad dan Sarjan Benedict Lundan.
( JABATAN PENERANGAN SABAH )