![]() |
Pasukan keselamatan memantau kawasan yang dinaiki air banjir (Foto ihsan: APM Sabah). |
KOTA KINABALU: Daerah Sandakan dan Beluran masing-masing diisytihar sebagai kawasan bencana banjir berikutan hujan lebat berterusan sejak semalam dan kenaikan paras air sungai di paras bahaya ketika ini.
Dalam kenyataan berasingan, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Sandakan, Walter Kenson berkata, pengisytiharan itu dibuat pada jam 6.00 pagi tadi.
“Dengan ini berdasarkan laporan dan maklumat di lapangan yang diterima daripada agensi-agensi dalam JPBD, maka adalah diisytiharkan bahawa telah berlaku bencana banjir di daerah Sandakan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, Pengerusi JPBD Beluran, Roger Appolonius, berkata daerah itu juga turut diisytihar sebagai kawasan bencana banjir pada jam 11.00 malam tadi.
Sebanyak empat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di kedua-dua daerah tersebut dengan masing-masing dua PPS di Sandakan dan dua PPS di Beluran.
PPS terlibat di daerah Sandakan iaitu PPS Masjid Nur Iman dan PPS Masjid Kampung Garinono BT 25 manakala PPS di Beluran iaitu PPS Dewan Kampung Sungai Nangka dan PPS Dewan Kampung Babalan.