19 mangsa banjir di Lahad Datu dipindahkan ke PPS

Pasukan keselamatan memantau kawasan banjir di Lahad Datu.

LAHAD DATU: Seramai 19 penduduk di lima kawasan di daerah ini terpaksa dipindahkan selepas kawasan rumah mereka mengalami banjir sejak semalam.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, semua mangsa banjir itu terdiri Kampung Tinusa, Kampung Jawa, Taman Fajar, Jalan Sungai Manila dan sepanjang Batu 7.

Katanya, mereka telah dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Masjid Indah Jaya, di sini, malam tadi.

“19 mangsa banjir yang dipindahkan terdiri daripada empat lelaki, tiga wanita, sepuluh kanak-kanak dan dua bayi.

“Setakat ini pasukan bomba masih memantau keadaan banjir di kampung yang terlibat,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Sementara itu, menerusi kenyataan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Lahad Datu berkata, pihaknya melakukan pemantauan ke lokasi hotspot banjir untuk melaksanakan pemantauan.

“Ketika ini, bacaan terkini paras air Sungai Segama pada tahap amaran, manakala Sungai Sepagaya pula masih dalam keadaan waspada.

“Pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Lahad Datu akan melakukan pemantauan dari semasa ke semasa sekiranya hujan masih berterusan,” katanya.

Menurutnya, setakat ini semua kawasan hotspot dalam keadaan amaran waspada dan semua penduduk di daerah ini dinasihatkan sentiasa berwaspada dan laporkan sebarang kecemasan.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama