'Persaingan terkawal' antara GRS-PH-BN mungkin berlaku semasa PRN17

Chan (tengah) semasa lawatan ke Chocolate Room di Kepayan Point. 

KOTA KINABALU: Pilihan raya negeri yang akan datang dijangka menyaksikan senario "persaingan terkawal" dalam kalangan gabungan politik utama, terutamanya Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), kata Datuk Chan Foong Hin.

Walaupun masih belum terdapat kenyataan rasmi berkenaan dengan hubungan kerjasama politik antara gabungan-gabungan parti, namun Timbalan Pengerusi DAP Sabah menyifatkan senario persaingan terkawal adalah satu daripada kebarangkalian bentuk kerjasama sekiranya Sabah ingin mengikuti formula “Unity government” di peringkat persekutuan.

Sabah mempunyai 73 kerusi dewan undangan negeri.

“Kami belum memuktamadkan rundingan kerusi dalam PH antara DAP, PKR, Upko, dan Amanah. Oleh kerana proses ini belum selesai, kami juga belum memulakan rundingan kerusi dengan GRS atau BN.

“Dalam kalangan GRS, PH, dan BN, saya percaya senario yang lebih mungkin berlaku ialah persaingan terkawal. Walaupun kita tidak dapat mengelak pertembungan sepenuhnya, kita akan cuba menguruskan keadaan secara strategik.

“Saya menjangkakan bahawa di beberapa kerusi, PH dan BN tidak akan bertembung, manakala di tempat lain, ia mungkin sukar dikawal.

“Dalam pilihan raya negeri 2020, terdapat kerusi di mana Parti Bersatu Rakyat Sabah bertanding atas tiket sendiri dan bukan di bawah bendera BN, tetapi mendapat sokongan BN. Ketika itu pada tahun 2020, BN dan PN juga tidak sepenuhnya sehaluan.

Chan, yang juga Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi dan Ahli Parlimen Kota Kinabalu, bercakap kepada wartawan semasa lawatan ke Chocolate Room di Kepayan Point bagi mempromosikan industri coklat artisan Sabah.

Senario lain pula ialah pertandingan secara bebas untuk semua pihak atau “free-for-all”, di mana pelbagai parti termasuk Parti Warisan dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat telah mengumumkan untuk bertanding secara solo, akan berusaha habis-habisan dalam pilihan raya negeri ke-17.

Mengenai pengumuman Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) berhasrat untuk bertanding di kerusi bandar, Chan berkata keputusan akhir tetap bergantung kepada kepimpinan GRS iaitu Datuk Seri Hajiji Noor.

“Mana-mana parti boleh menuntut kerusi yang mereka idamkan, dan mereka berhak menyatakan aspirasi mereka.

“Selagi Datuk Seri Hajiji Noor masih ketua GRS dan telah menyatakan hasrat untuk mengekalkan kerjasama dengan PH, keputusan akhir seharusnya datang daripada Ketua Menteri sebagai ketua GRS,” katanya.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama