Sabah berjaya rekod penculikan sifar sejak tahun 2020 - KDN

Abdul Halim (dua dari kiri) ketika bercakap kepada  media.

TAWAU:  Sabah berjaya merekodkan kes penculikan sifar sejak 15 Januari 2020 kata Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Abdul Halim Abdul Rahman.

Menurutnya, ia berikutan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) sentiasa memberi komitmen sepenuhnya untuk mengawal keselamatan di negeri ini termasuk melaksanakan pemeriksaan fizikal terhadap lebih 5.2 juta orang, kenderaan dan bot sejak 1 Januari 2020 sehingga 28 Februari 2025.

Sementara, 1,907 orang lagi ditahan manakala 1,118 buah kenderaan serta bot dirampas atas pelbagai kesalahan.

Selain itu, ujar Abdul Halim, ESSCOM juga berjaya menangani jenayah penyeludupan barang dan Pendatang Tanpa Izin (PATI) yang merangkumi jumlah nilai rampasan bernilai RM90 juta.

"Jumlah keseluruhan nilai rampasan untuk tempoh yang sama bernilai RM90 juta di mana penyeludupan barang kawalan dan tidak bercukai berjumlah RM55 juta adalah yang tertinggi.

"Rampasan dadah dan barang milik PATI masing-masing menyumbang kepada jumlah keseluruhan sebanyak RM34.4 juta.

"Manakala, seramai 1,890 orang PATI dan 294 buah kapal atau bot yang cuba masuk secara haram melalui kawasan sempadan perairan negara telah diusir," katanya kepada media dalam Program Penerapan Nilai-Nilai Murni dan Ihya Ramadan.

Abdul Halim menyampaikan Sumbangan kepada asnaf.

Program kolaborasi ESSCOM Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Sabah itu menyantuni 30 orang golongan asnaf, anak yatim dan mangsa kebakaran di sekitar kg Baru Pasir Putih di Masjid Al Falah, Kg. Baru Pasir Putih dekat sini.

Dalam pada itu, beliau yang menyampaikan teks ucapan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata selain menjadi wadah rapatkan ukhwah, program tersebut menjadi platform membantu mereka yang kurang bernasib baik dalam menjalani ibadah puasa. 

"Majlis ini bukan sekadar satu acara berbuka puasa tetapi ia juga menjadi wadah untuk kita memperkukuhkan semangat persaudaraan dan kebersamaan. 

"Lebih daripada itu, sempena bulan yang penuh berkat ini, kita diseru untuk melakukan amal kepada golongan yang kurang bernasib baik dan atas sebab itu program ini turut diselitkan dengan penyampaian sumbangan kepada golongan asnaf, anak yatim, dan mangsa kebakaran. 

"Ini selari dengan tuntutan Islam yang menggalakkan kita membantu mereka yang memerlukan khususnya dalam bulan Ramadan yang mulia ini," ujarnya. 

Turut hadir, Setiausaha Sulit Menteri Kewangan Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Kukusan Datuk Rina Jainal, Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara Datuk Ruji Ubi, Timbalan MUFTI Sabah Ustaz Abdul Razak.

(JABATAN PENERANGAN SABAH)


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama