KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah terus membantu pelajar melalui Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Negeri (SENTOSA) dengan peruntukan RM6 juta, yang bakal memberi manfaat kepada 20,000 pelajar IPT dalam negeri.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata setiap pelajar yang menuntut di IPT awam dan swasta di Sabah akan menerima bantuan one-off sebanyak RM300, bagi meringankan beban kewangan mereka terutama menjelang musim perayaan.
"Bantuan SENTOSA telah saya umumkan pada November tahun lalu, dan saya berharap ia dapat membantu pelajar untuk pulang ke kampung halaman sebelum Hari Raya Aidilfitri," katanya dalam Majlis Pelancaran Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Negeri (SENTOSA) di Dewan Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Gaya, dekat ini pada Khamis.
Selain bantuan SENTOSA, Hajiji turut mengumumkan penyediaan peruntukan RM75.5 juta oleh kerajaan negeri pada tahun 2025 bagi melaksanakan 13 inisiatif bantuan pendidikan yang lain.
"Antara inisiatif yang diteruskan termasuk BUDI untuk bantuan tunai pendaftaran IPT, BAIK bagi pemberian komputer kepada pelajar, BAKTI untuk bantuan khas peperiksaan, serta BISBAH dan BALKIS yang memberi tumpuan kepada sekolah, di samping BISTARI, BAGUS, BANTU, AKSA, SEMESTA dan GRS-SUBFLY, yang masing-masing menyasarkan keperluan pendidikan di peringkat pelajar dan institusi.
"Semua inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan negeri untuk memastikan anak-anak Sabah mendapat akses kepada pendidikan berkualiti tanpa mengira latar belakang," ujarnya.
Selain itu, kerajaan negeri turut memperkenalkan inisiatif baharu Sumbangan Kegiatan Sekolah Secara One-Off (SUKSES) dengan peruntukan RM3,000 bagi setiap sekolah di Sabah untuk menjalankan aktiviti atau pembelian keperluan lain.
Dalam usaha memperluaskan peluang pendidikan, kerajaan negeri juga telah meningkatkan dana Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) daripada RM51 juta kepada RM128 juta bagi tahun 2025, memberi lebih banyak ruang kepada pelajar Sabah untuk melanjutkan pelajaran, termasuk dalam bidang agama dan pengajian Islam.
Bagi pelajar Sabah yang menuntut di Semenanjung, Sarawak, dan Labuan, kerajaan negeri turut menyediakan subsidi tiket penerbangan GRS-SUBFLY sebanyak RM600 seorang, dengan jumlah keseluruhan perbelanjaan melebihi RM10 juta.
"Kerajaan negeri akan terus berusaha memastikan pendidikan di Sabah diperkasa dan lebih banyak bantuan disalurkan supaya tiada pelajar tercicir," tambah Hajiji.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) Sabah Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif merangkap Exco Agama dan Pendidikan Negeri Sabah, Pembantu Menteri KSTI Datuk Harun Durabi, Pengarah Yayasan Sabah Datuk Ghulamhaidar Khan Bahadar, Pengarah Institut Pendidikan Guru Kampus Gaya Kota Kinabalu Dr. Gertrude Jok, Pengarah Institut Pendidikan Guru Kampus Kent Tuaran Dr. Norafidah Noralidin.
(JABATAN PENERANGAN SABAH)