![]() |
Sh.Sitti Saleha ketika ditemui media. |
KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah giat melaksana Ops Bazar Ramadan bagi mengekang kegiatan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).
Pengarahnya, Datuk Sh. Sitti Saleha Habib Yusof berkata pihaknya kekal komited melakukan operasi tersebut untuk memastikan tiada PATI berniaga di kawasan tersebut.
"Dari segi operasi bazar, kami memang lakukan setiap hari untuk memastikan tiadanya warga asing tanpa dokumen berniaga di kawasan bazar. Jadi yang ini telah pun kami lakukan dan operasi-operasi lain juga seperti Ops Kutip dan Ops Sapu juga kami masih melaksanakan operasi sedemikian.
"Selain daripada Ops Bazar, kami juga lebih melihat kepada melaksanakan operasi berdasarkan aduan awam. Kami ada menerima aduan-aduan awam mengenai keberadaan PATI, khususnya di kawasan-kawasan yang dianggap sebagai kawasan setinggan. Jadi itulah imigresen, memang fokus kepada penguatkuasaan sebenarnya.
"Setakat ini tangkapan memang ada dan fokus sebenarnya di bulan ramadhan ini melihat kepada kewujudan warga asing tanpa dokumen yang berniaga di bazar," jelasnya.
Menurut Sh. Sitti Saleha sehingga hari ini, JIM Sabah telah membuat tangkapan ke atas 1,143 orang, manakala pemindahan ke negara asal pula dijalankan sebanyak 21 kali melibatkan 1,382 orang dan 90 peratus daripadanya merupakan warga Filipina.
Beliau menyatakan demikian ketika ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Tuan Yang Terutama Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, pada Khamis.
Katanya, kunjungan hormat tersebut bertujuan untuk memperkenalkan diri, selain memaklumkan prestasi serta fungsi imigresen yang berkaitan dengan Bahagian (7) Akta Imigresen dan keperluan pembinaan Kompleks Imigresen bagi menempatkan keseluruhan bahagian JIM Sabah.
(JABATAN PENERANGAN SABAH)