![]() |
Pasukan anggota bomba bertungkus-lumus memadamkan api, di sini, malam tadi. |
RANAU: Penduduk di Pekan Kundasang gempar selepas berlaku kebakaran membabitkan satu blok rumah sewa 11 pintu, dua inap desa, tiga kedai runcit dan sebuah stor penyimpanan barang runcit, malam tadi.
Bagaimanapun, kejadian yang berlaku kira-kira jam 8.30 malam itu tidak melibatkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa berlaku.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Ridwan Mohd Taib berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.37 malam.
Katanya, sepasukan 15 anggota dan pegawai bersama jentera digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak 18 kilometer dari balai bomba.
“Setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati kebakaran sudah memusnahkan kawasan tersebut dan operasi pemadaman terus dilakukan.
“Operasi turut dibantu oleh anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Sabah Electricity (SE),” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, pasukan bomba menggunakan dua aliran dari sumber jentera dan pili bomba dalam operasi tersebut.
Ridwan berkata, pasukan bomba berjaya menyelamatkan beberapa premis berhampiran dan api mula terkawal pada jam 10.09 malam.
“Setelah memastikan tiada lagi bahaya bahaya yang wujud di lokasi kejadian, operasi ditamatkan pada jam 12.52 tengah malam.
“Pasukan forensik bomba akan menjalankan siasatan untuk mengetahui punca dan jumlah kerugian yang dialami semua mangsa,” katanya.