LAHAD DATU: Parti Keadilan Rakyat Negeri Sabah, menyerahkan sepenuhnya kepada pucuk pimpinan pusat iaitu Presiden Parti Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk sebarang gabungan kerjasama dengan parti lain.
Timbalan Bendahari PKR Sabah, Datuk Nordin Ening berkata beliau yakin keputusan itu juga akan mengambil kira nasihat dan pendapat daripada pemimpin-pemimpin PKR negeri terlebih dahulu.
“Soal kerjasama ini, pimpinan pusat akan membuat keputusan selepas merujuk kepada pandangan Majlis Pimpinan Negeri yang baru nanti.
“PKR Sabah juga akan menyenaraikan calon untuk PRN Sabah dan pemilihannya sedang giat dilakukan,” katanya.
Beliau yang juga pimpinan tertinggi parti PKR Sabah berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Parti Cabang Silam, semalam. Turut hadir, Ketua Cabang PKR Silam Romansa Lamin.
Nordin berkata, soal calon memang PKR Sabah mempunyai nama dan akan diteliti dengan sebaiknya calon-calon yang sesuai.
“Kita mahukan semua calon yang dipilih menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah nanti boleh menang dan disukai rakyat.
“Buat masa ini, kita masih menunggu dan merujuk semula kepada Majlis Pimpinan Pusat untuk memutuskan calon yang dipilih,” katanya.