Polis tahan "Runner" bersama lebih 2kg Syabu

 Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Jasmin Hussin menunjukkan dadah jenis syabu yang dirampas, Rabu lalu.

TAWAU : Seorang warga asing yang berperanan sebagai 'runner' dadah ditahan polis bersama lebih dua kilogram (kg) syabu dianggarkan bernilai RM120,000 di kawasan tepi Jalan Air Panas Tiku, dekat sebuah ladang kelapa sawit di sini, pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, tangkapan dijalankan sepasukan anggota dan pegawai Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, jam 2.30 petang.

Beliau berkata, hasil soal siasat mendapati suspek berasal dari Kota Kinabalu menaiki bas ke Tawau sebelum menyewa sebuah kereta (e-hailing) untuk menjalankan aktiviti pengedaran dadah, di sini.

"Sebelum serbuan, suspek yang berseorangan itu dilihat dalam keadaan mencurigakan ketika sedang menunggu pelanggan di lokasi berkenaan.

"Hasil pemeriksaan lanjut keatas suspek, polis merampas satu beg plastik didalamnya mengandungi dua paket bungkusan berwarna keemasan bertulis Guanyinwang mengandungi hablur jernih disyaki dadah jenis methamphetamine," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Jasmin berkata, keseluruhan dadah yang dirampas seberat 2101.5 gram dianggarkan bernilai RM120,000.

"Hasil ujian saringan air kencing terhadap suspek mendapati dia negatif dadah dan tiada sebarang rekod jenayah lampau.

"Suspek ditahan reman selama seminggu sehingga 6 Mac depan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.






Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama