![]() |
Sepasukan tujuh anggota dan pegawai bergerak sejauh 1.5 kilometer dari jalan utama ke lokasi untuk menjalankan operasi mengeluarkan mangsa. |
TAWAU: Seorang lelaki warga emas ditemui meninggal dunia selepas dilaporkan hilang di kawasan hutan berhampiran Sankina Water Park, Hot Spring, di sini, semalam.
Mangsa berusia 65 tahun ditemui terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh orang awam di kawasan tepi laluan pejalan kaki, kira-kira jam 8 malam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.26 malam.
Katanya, sepasukan tujuh anggota dan pegawai bergerak sejauh 1.5 kilometer dari jalan utama ke lokasi untuk menjalankan operasi mengeluarkan mangsa.
“Menurut saksi kejadian, mangsa dilaporkan masuk ke kawasan hutan berseorangan pada jam 4.30 petang dan didapati hilang pada jam 6 petang hari yang sama.
“Gerakkan mencari kemudian telah dijalankan oleh sekumpulan orang awam pada jam 7 malam,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.
Menurutnya, mangsa ditemukan terbaring oleh orang awam kira-kira jam 8 malam, sebelum menghubungi pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Jemishin berkata, pasukan bomba segera bertindak mengangkat mangsa menggunakan ‘strecher’ dibantu oleh orang awam ke jalan utama.
“Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM dan diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan selanjutnya.
“Setelah memastikan tiada bahaya lain yang wujud, pasukan bomba kemudian menamatkan operasi pada jam 8.48 malam,” katanya.