SANDAKAN: Polis berjaya selesaikan kes bunuh wanita di kawasan perumahan setinggan Bukit Batu 2 1/2, di sini selepas tertangkapnya seorang lelaki disyaki terbabit dalam kes ini.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata sebelum itu pihaknya menerima laporan mengenai penemuan mayat seorang wanita berusia 58 tahun, Ahad lepas.
Katanya, mengikut maklumat awal mayat mangsa ditemui oleh orang awam kira-kira jam 5.30 petang, sebelum membuat laporan kepada pihak polis.
“Siasatan awal di lokasi kejadian mendapati terdapat kecederaan di bahagian kepala mangsa dipercayai akibat dibunuh.
“Sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan dan cawangan D9 Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah digerakkan untuk mengesan suspek.
“Hasil maklumat orang awam dan risikan, suspek seorang lelaki berusia 31 tahun berjaya ditahan kira-kira jam 5.30 petang, semalam, di kawasan Batu 2, di sini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Ahsmon berkata, suspek terbabit dibawa ke IPD Sandakan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman mati jika sabit kesalahan.
“Kes berkenaan dapat diselesaikan dalam tempoh 24 jam selepas laporan polis diterima dan motif kejadian masih dalam siasatan,” katanya.