![]() |
Junz Wong (kiri), Nizam (kanan). |
KOTA KINABALU: Dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Aru, Datuk Junz Wong mengenai kewujudan perjanjian air RM1.5 bilion adalah palsu dan dibuat dengan niat jahat untuk mengelirukan rakyat.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata kenyataan Junz disifatkan 'menyalak' berkenaan projek yang tidak wujud.
Menurutnya, Junz hanya bertindak menuduh kerajaan negeri tanpa asas dan kenyataannya adalah fitnah dengan niat jahat.
"Projek ini baharu di peringkat cadangan, tanpa komitmen atau kelulusan dari kerajaan Negeri. Surat Niat (LoI) hanya dikeluarkan untuk kajian, bukan untuk menganugerahkan sebarang kontrak.
"Hakikatnya, syarikat yang terlibat belum lagi menyelesaikan kajian mereka, dan tiada keputusan akhir yang dibuat. Surat niat untuk kajian tersebut adalah dibiayai oleh syarikat sendiri dan tidak melibatkan dana awam.
"Begitu juga, potensi pembiayaan daripada Perbadanan Pinjaman Sabah (SCC) ini hanya satu kemungkinan jika cadangan tersebut diluluskan.
"Setakat ini, lantikan SCC sebagai pemberi pembiayaan Inisiatif Pembiayaan Persendirian atau Private Finance Initiative (PFI) belum dibuat kerana projek ini perlu diluluskan oleh kerajaan terlebih dahulu," katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, Nizam turut berkata Junz seharusnya mendedahkan 'dokumen kukuh' yang didakwa telah diperolehi serta mengesahkan kesahihannya dan bukan membuat sebarang kenyataan dengan niat jahat untuk mengelirukan rakyat.
Beliau juga berkata pihaknya akan mengambil tindakan tegas susulan dakwaan Junz itu.
"Tindakan tegas akan diambil. Junz Wong harus bertanggungjawab atas kenyataannya yang palsu, tidak berasas dan berniat jahat," katanya.