![]() |
Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor - ihsan UMS |
KOTA KINABALU: Program Pensijilan Kepimpinan dan Governan Eksekutif yang dibangunkan oleh Universiti Malaysia Sabah (UMS) mampu menjadi inisiatif baharu universiti dalam memperkukuhkan keupayaan kepimpinan dan melahirkan pemimpin masa hadapan untuk negeri Sabah.
Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kasim Mansor berkata, program tersebut dibangunkan oleh Bahagian Kepimpinan dan Pembangunan Bakat (BKePT) dengan kerjasama dari Pusat Pembelajaran Fleksibel UMS (UMSFLEC) serta tenaga pakar UMS dalam bidang kepimpinan dan governan.
“Program buat julung kalinya diadakan ini dirangka secara eksklusif, mengambil kira kepentingannya dalam senario lanskap kepimpinan masa kini yang semakin mencabar, keperluan menangani krisis dan konflik dalam persekitaran multi-budaya.
“Ini ditambah pula dengan tekanan globalisasi, perkembangan teknologi, serta tuntutan keterbukaan dan akauntabiliti dalam memainkan peranan sebagai pemimpin berwibawa.
“Justeru, modul-modul yang diperkenalkan dalam program ini dijangka berupaya membantu pemimpin organisasi, persatuan politik, perniagaan dan eksekutif dalam memperkasakan kemahiran kepimpinan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi taklimat bersempena pelancaran Program Pensijilan Kepimpinan dan Governan Eksekutif UMS Tahun 2025 di sini.
Menurut Kasim, program itu juga adalah hasil cetusan buah fikiran daripada Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan yang mahu melihat pemerkasaan kepimpinan dan governan berlaku dalam lanskap politik di Sabah.
“Dalam konteks kepimpinan di Sabah, program ini bakal memainkan peranan yang amat signifikan mengambil kira keunikan Sabah sebagai sebuah negeri yang kaya dengan kepelbagaian budaya dan sumber ekonomi yang strategik ke arah pembangunan yang mampan.
“Keperluan ini hanya dapat digarap oleh pemimpin yang inovatif, inklusif, berdaya saing dan berpandangan jauh.
“Untuk itu, saya yakin melalui program ini para pemimpin di Sabah akan dapat meluaskan pemahaman terhadap aspek governan, membangunkan kapasiti kepimpinan baharu yang mampu menangani cabaran-cabaran unik khususnya di Sabah, dan mengaplikasikan amalan terbaik dalam kepimpinan dan governan yang sejajar dengan kehendak semasa,” katanya.
Dalam pada itu, ahli lembaga pengarah UMS, Datuk Hasnol Ayub ketika berucap pada sesi tersebut menyokong penuh usaha UMS memperkenalkan program yang dilihat mampu menjadi platform dalam menyokong pelan peralihan kepimpinan kepada generasi muda di negeri Sabah melalui pembentukan pemimpin berpotensi yang berkualiti.
Katanya, ini penting kerana pemimpin yang sentiasa terlibat dalam membuat keputusan seharusnya berkeupayaan membuat keputusan yang bernas berteraskan data saintifik, selain perlu untuk mereka membentuk satu pemikiran yang sama khususnya dalam memperjuangkan isu-isu di negeri Sabah.
Program tersebut yang menyasarkan penyertaan antaranya dalam kalangan eksekutif tinggi, pengurusan kanan organisasi, pemimpin persatuan, usahawan atau pemilik perniagaan, mahupun pengurus berprestasi tinggi dijangka akan dijalankan secara intensif selama 12 hari dengan enam modul dan jumlah jam pengajaran sebanyak 84 jam, bermula dari 14 April hingga 26 April 2025.
Turut hadir pada sesi taklimat pelancaran program itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai, Datuk Yakub Khan; ADUN Balung, Datuk Hamild @ Hamid Awang; Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar; Pengarah UMSFLEC, Dr. Lim Thien Sang; dan Ketua BKePT, Kamisah Husin.