Lebih 2 tahun potfolio jalan dan air dipegang pemimpin sama, tuduh kerajaan GRS gagal


Azrul.

KOTA KINABALU: Pemuda Parti Gagasan Rakyat menyelar kenyataan segelintir pihak pembangkang yang menuduh kerajaan yang dipimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak menyelesaikan masalah infrastruktur jalan dan air di negeri ini.

Naib Ketua Pemuda Gagasan Rakyat, Azrul Ibrahim berkata pihak pembangkang seharusnya meneliti semula 'track record' GRS sepanjang menerajui pentadbiran kerajaan negeri di Sabah terlebih dahulu.

"Gagalkah kerajaan GRS pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor yang telah merekodkan hasil negeri tertinggi dalam sejarah tiga tahun berturut-turut menghampiri RM7 bilion?

"Berbanding kerajaan sebelumnya yang hanya mengutip hasil negeri purata RM3.9 bilion?

"Dengan adanya hasil yang bertambah, kerajaan negeri telah melaksanakan pelbagai program dan inisiatif untuk membantu rakyat.

"Gagalkah kerajaan GRS yang telah dapat melonjak pertumbuhan ekonomi negeri sehingga 4 peratus sehingga 4.5 peratus setelah mengalami kemerosotan bermula tahun 2018?

"Ini jelas memperlihatkan kerajaan mana yang benar-benar berupaya membawa ekonomi Sabah lebih kompeten, jelas sekali kerajaan GRS. Gagalkah kerajaan GRS yang dapat menarik ramai pelabur sekali gus membuka peluang pekerjaan kepada anak muda?" katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Susulan itu, Azrul turut mempersoalkan kembali pihak pembangkang apakah sumbangan mereka ketika menjadi kerajaan negeri sebelum ini.

"Bukankah mereka yang pernah menjadi kerajaan dengan pencapaian ekonomi negeri yang suram sekitar tahun 2018 hingga 2020?

"Bukankah kerajaan pada tempoh 2018 hingga 2020 yang kutipan hasilnya hanya pada purata RM3.9 bilion?

"Bukankah kerajaan pada tahun 2019 yang telah mengubah dasar pelaksanaan Lebuh Raya Pan Borneo Sabah yang akhirnya tergendala akibat kelemahan kepimpinan mereka?

"Sehingga Pan Borneo Highway Sabah ketinggalan dua hingga tiga tahun berbanding negeri jiran Sarawak? Bukankah mereka punca jalan raya di Sabah masih dalam keadaan yang menyedihkan asbab terbengkalainya pembinaan Pan Borneo yang sepatutnya telah siap lebih awal?

"Ke mana tanggungjawab moral mereka hingga menuduh kononnya kerajaan GRS gagal menyelesaikan isu jalan raya sedangkan mereka menjadi sebahagian puncanya?

"Jika sekalipun prestasi penyelesaian keperluan asas rakyat dibandingkan, kerajaan GRS masih memiliki kelebihan, walaupun hampir dua tahun tiga bulan portfolio jalan raya dan air dipegang oleh pemimpin yang paling lantang menuduh kerajaan GRS gagal mengurus masalah rakyat?" soalnya.

Disamping itu, Azrul turut berkata terdapat beberapa inisiatif telah diambil GRS bagi penyelesaian isu air di Sabah seperti pembinaan empangan hidro dan tangki simpanan air di beberapa buah daerah.

"Dalam memastikan bekalan elektrik distabilkan, kerajaan negeri kini beralih kepada kebergantungan tenaga boleh diperbaharui seperti hidro dan round off river di Tenom, Solar Farm di 15 kawasan seluruh Sabah, projek BESS di Lahad Datu, beberapa mini hidro dan gas engine mampu mengurangkan masalah elektrik di negeri ini.

"Pelaksanaan Lebuh Raya Pan Borneo semakin rancak hasil kerjasama erat kerajaan negeri pimpinan GRS dan persekutuan. Fasa 1 yang berjajaran sejauh 706 KM kini kembali rancak dibangunkan setelah tergendala pada tahun 2019 akibat kelemahan kepimpinan pada masa itu.

"Daripada 16 pakej pembinaan fasa 1A, 4 pakej telah siap, 7 pakej akan siap sebelum akhir tahun 2025 dan selebihnya awal tahun depan. 19 pakej fasa 1B pula telah selesai proses perolehan dan dijangka siap menjelang tahun 2028.

"Komitmen ini jelas menunjukkan kerajaan GRS bersungguh-sungguh memastikan isu berkaitan keperluan asas di negeri ini dapat diatasi. Paling penting proses penyelesaiannya jelas dan memberi harapan kepada rakyat," katanya.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama