Pengurus projek didakwa kemuka dokumen palsu, tuntutan sehingga RM800,000

Tertuduh, Victor Voo Chung Sain.

KOTA KINABALU: Seorang pengurus projek sebuah syarikat pembinaan dihadapkan ke Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu hari ini atas tiga pertuduhan menggunakan dokumen palsu bagi tuntutan pembayaran berjumlah kira-kira RM800,000.

Tertuduh, Victor Voo Chung Sain, 51, yang merupakan pengurus projek di syarikat Pembinaan Azam Jaya Sdn Bhd, didakwa mengemukakan dokumen palsu kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Sabah bagi projek pembinaan persimpangan bertingkat dan lorong ketiga di bandar raya ini.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa mengemukakan dokumen palsu bertarikh 30 Disember 2016 dalam Bayaran Interim No. 23 melibatkan tuntutan sebanyak RM394,915.56.

Selain itu dokumen palsu bertarikh 31 Julai 2017 dalam Bayaran Interim No. 30 berjumlah RM425,293.68 dan tertuduh juga didakwa mengemukakan dokumen Site Measurement palsu bertarikh 24 April 2018, yang mengandungi tandatangan dipalsukan, membabitkan jumlah keseluruhan RM46 juta.

Bagaimanapun, tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan deposit RM8,000 serta seorang penjamin tempatan.

Selain itu, tertuduh turut diperintahkan menyerahkan pasport antarabangsanya agar tidak mengganggu saksi dan melapor diri ke Pejabat SPRM setiap dua bulan sekali.

Menurut Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy, siasatan mendapati tertuduh dipercayai melakukan perbuatan itu sejak tahun 2014 hingga 2018, membabitkan kerja pembinaan jalan yang tidak dilaksanakan sepenuhnya.

Kes dikendalikan di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 14 April 2025 sebagai tarikh pengurusan kes.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama