![]() |
Operasi pemindahan PATI warganegara Filipina. Foto ihsan JIM Sabah |
Pengarah JIM Sabah, Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yussof, berkata dalam Operasi Mega Pemindahan Tahanan Asing Tanpa Izin (PATI) itu, pihaknya berjaya melaksanakan pemindahan seramai 180 warga Filipina pada 3 Mac 2025, diikuti dengan 891 lagi pada 6 Mac 2025.
Kesemua individu tersebut membabitkan tahanan di Depot Imigresen Papar, Sandakan, dan Tawau.
Menurut Sitti Saleha, tahanan yang terlibat berumur antara tiga hari hingga 82 tahun, dan mereka dihantar pulang ke destinasi asal di Bongao dan Zamboanga, Filipina. Kanak-kanak yang terlibat dalam proses pemindahan ini turut diiringi oleh ibu bapa atau penjaga sah mereka.
“Sehingga kini, jumlah keseluruhan PATI warganegara Filipina yang telah berjaya dihantar pulang adalah seramai 1,811 orang, menjadikan jumlah keseluruhan PATI yang telah dipindahkan ke negara asal sejak awal tahun ini sebanyak 2,273 orang,” katanya.
Sitti Saleha turut menjelaskan bahawa kesemua tahanan telah menjalani hukuman mengikut undang-undang yang ditetapkan dan memiliki dokumen perjalanan sah yang dikeluarkan oleh Kedutaan Republik Filipina, membolehkan mereka melalui proses pemindahan ke negara asal.
Tambahnya, JIM Sabah tidak akan berkompromi dengan mana-mana warga asing yang menyalahgunakan pas serta kemudahan yang diberikan.
“Tindakan undang-undang akan diambil terhadap majikan dan pemilik premis yang menggaji warga asing tanpa dokumen sah serta individu yang melanggar syarat pas atau permit yang dikeluarkan. Kesalahan ini tertakluk di bawah Akta 155 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” tegasnya.
Beliau turut menasihatkan para majikan dan masyarakat supaya menggunakan saluran yang sah dalam pengambilan pekerja asing.
"Jabatan ini akan mempergiatkan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa dalam membanteras PATI di negara ini." katanya.