![]() |
James (tengah) ketika sidang kelulusan 100 mesin dialisis - ihsan Jabatan Penerangan Sabah. |
KOTA KINABALU : Kerajaan negeri menyediakan lebih RM 8.5 juta subsidi untuk membantu pesakit End-Stage Renal Failure (ESRF) mendapatkan rawatan hemodialisis.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR), Datuk James Ratib berkata pelaksanaan Skim Bantuan Kesihatan SMJ "Sabah Sejahtera" itu dapat meningkatkan kadar kelangsungan dan kualiti hidup pesakit ESRF.
"Fasa pertama skim ditumpukan kepada perkhidmatan hemodialisis bagi 1,385 pesakit di klinik dan 797 pesakit yang menjalani rawatan kendiri di rumah (CAPD).
"Peruntukan yang disediakan untuk skim ini merangkumi lebih RM 4.02 juta bagi kos rawatan dan RM 4.5 juta bekalan 100 mesin hemodialisis di 24 hospital serta satu klinik kesihatan di seluruh Sabah," katanya semasa sidang media khas berkenaan kelulusan 100 mesin dialisis, pada Khamis.
Menurut James, seorang pesakit ESRF terpaksa membayar lebih daripada RM2,000 sebulan sekiranya mendapatkan perkhidmatan hemodialisis daripada pihak swasta.
"Jadi dengan adanya tambahan 100 mesin dialisis ini maka sudah pasti boleh membantu para pesakit buah pinggang mendapat rawatan yang sewajarnya.
"Kita amat sedih melihat rakyat kita yang tidak mendapat perkhidmatan mesin dialisis ini di hospital-hospital kerajaan kerana mereka terpaksa menerima rawatan di klinik-klinik ataupun di pusat-pusat dialisis yang telah pun dibuat oleh pihak swasta," ujarnya.
Selain bantuan 100 mesin hemodialisis, subsidi tersebut termasuk caj rawatan di klinik dan CAPD iaitu yuran pendaftaran berjumlah RM1, caj rawatan (RM13), caj pusat dialysate (RM100) serta yuran pakar (RM5).
Sementara itu, Pengarah JKNS, Dr. Maria Suleiman memaklumkan terdapat 474 mesin hemodialisis sedia ada di fasiliti kesihatan JKNS namun hanya 435 sahaja yang berfungsi dengan baik manakala 39 lagi rosak.
"Nisbah pesakit (sedia ada yang menjalani hemodialisis) ke mesin adalah 3.32 iaitu kurang daripada 4.0 dan masih menampung.
"Walau bagaimanapun, sekiranya keseluruhan pesakit ESRF menjalani rawatan hemodialisis, nisbah pesakit ke mesin adalah 5.35, melebihi 4.0 di mana mesin hemodialisis sedia ada tidak dapat menampung keperluan perkhidmatan ini," jelasnya.
Penyakit ESRF atau kegagalan buah pinggang tahap akhir merupakan keadaan di mana fungsi buah pinggang pesakit merosot teruk sehingga tidak lagi mampu mengekalkan keseimbangan cecair, elektrolit, dan penyingkiran sisa metabolisme dari badan
Tren jumlah pesakit ESRF di Sabah menunjukkan peningkatan bermula tahun 2020 sehingga tahun 2024 dengan jumlah keseluruhan pesakit pada tahun lepas sebanyak 2,133 orang.
( JABATAN PENERANGAN SABAH )