JPJ Sabah Laksanakan Op Khas Aidilfitri Dalam Masa Terdekat - Harris

Harris (kiri) ketika mendengar sesi taklimat Program Jelajah Ramadan Tahun 2025.


KOTA KINABALU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sabah akan melaksanakan Op Khas sempena Hari Raya Aidilfitri  dalam masa terdekat.

Pengarah JPJ Negeri Sabah, Mohd Harris Ali berkata operasi tersebut memberikan tumpuan di kawasan yang kerap berlaku kemalangan bagi memastikan keselamatan para pengguna jalan raya.

"Operasi sebenarnya di seluruh Sabah tapi kita akan beri penekanan kepada kawasan-kawasan yang selalu terlibat kemalangan dan pada masa yang sama kita akan buat statik checkpoint untuk pastikan kenderaan tidak melebihi had laju.

"Kita juga akan perkenalkan Larangan Pemanduan Kenderaan Barangan (Road-Band) terhadap kenderaan berat tidak boleh berada di atas jalan raya yang akan dilaksanakan selepas mesyuarat dan sedikit masa lagi kita akan maklumkan kepada media.

"Pada masa yang sama, kita akan buat penyamaran dalam kenderaan pengangkutan awam untuk memastikan pemandu-pemandu bas ini sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya dan selalunya memang 200 hingga 300 anggota kita akan bertugas di seluruh Sabah.

"Kita akan menempatkan pegawai kita di terminal-terminal utama untuk memeriksa bas sebelum mereka bergerak, itu adalah Standard Operating Procedure (SOP) sebab kita mempunyai penekanan kepada kenderaan bas agar jika berlaku kemalangan tidak menyebabkan mangsa yang banyak dan kita mengurangkan mereka terlibat semua.

"Di samping itu, pada masa ini kita memberikan fokus kepada advokasi memberi peringatan dan kesedaran kepada pengguna jalan raya agar sentiasa memastikan kenderaan mereka dalam keadaan yang selamat dan memastikan mereka sihat untuk memandu," katanya kepada media dalam Program Jelajah Ramadan Tahun 2025 JPJ Negeri Sabah di Ibu Pejabat JPJ Negeri Sabah Bundusan, pada Rabu.

Pada program itu, Harris menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada 20 penerima terdiri daripada golongan asnaf dan mualaf sempena bulan Ramadan.

"Pemberian ini adalah daripada hasil sumbangan orang ramai dan juga warga JPJ sendiri, kita menyantuni dan menyerahkan sendiri sumbangan kepada penerima di rumah mereka masing-masing dan program ini berlangsung selama dua hari.

"Saya berharap dalam bulan yang mulia ini, kita menyemarakkan lagi semangat Ramadan di mana anggota JPJ juga diberi peluang bersama-sama berkongsi rezeki masing-masing dan kita mahu JPJ dilihat sebagai agensi yang prihatin," katanya lagi.

Program dua hari bermula 12 Mac itu merupakan kerjasama JPJ Negeri Sabah bersama Masjid Baiturrahman melibatkan lapan buah kampung di sekitar daerah Penampang iaitu Kg.Nosoob, Kg. Tuavon, Kg. Kasigui, Kg. Sugud, Kg. Kolopis, Kg. Kakahangan Babagon, Kg. Limbanak dan Kg. Maang.


( JABATAN PENERANGAN SABAH)


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama