Gotong Royong Bubur Lambuk Kukusan eratkan perpaduan komuniti


TAWAU: Semangat perpaduan dan kebersamaan terserlah dalam Program Gotong Royong Perdana Bubur Lambuk yang diadakan di seluruh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukusan. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukusan, Datuk Rina Haji Jainal berkata program itu berperanan sebagai medium memperkukuhkan hubungan masyarakat pelbagai kaum dan agama.

Katanya, program tahunan yang dianjurkan ini bukan sahaja untuk menyemarakkan keberkatan bulan Ramadan, tetapi juga bertujuan memperkukuhkan hubungan silaturahim antara komuniti setempat.

“Program ini telah berjaya menarik penyertaan ramai, termasuk ahli-ahli Kawasan Rukun Tetangga (KRT), penduduk kampung, serta wakil daripada pelbagai lapisan masyarakat.

 “Tahun ini, kita berjaya meningkatkan jumlah edaran bubur lambuk kepada 5,000 bekas berbanding 4,000 pada tahun sebelumnya,” katanya.

Beliau yang juga Setiausaha Politik Menteri Kewangan Sabah berkata demikian ketika ditemui media dalam Program Gotong Royong Perdana Bubur Lambuk Kukusan, di sini hari ini. 

Rina turut menekankan bahawa program gotong royong ini bukan sahaja melibatkan masyarakat Islam, tetapi turut disertai oleh penduduk dari pelbagai kaum seperti Tionghoa, Kadazan Dusun, dan lain-lain. 

Katanya, inilah yang mahu dilihat kesepaduan komuniti tanpa mengira latar belakang. Keharmonian dan kebersamaan ini amat penting dalam membentuk sebuah masyarakat yang bersatu-padu.

“Kita juga melibatkan semua KRT serta masjid dan surau di setiap kampung dalam kawasan DUN Kukusan bagi memastikan manfaatnya sampai kepada seluruh masyarakat.

“Gotong royong ini adalah salah satu program kemasyarakatan yang kita sentiasa kekalkan kerana ia mampu memperkukuhkan hubungan dan membentuk semangat kerja berpasukan dalam komuniti,” katanya.

Beliau berharap agar program sebegini terus diterapkan dalam mana-mana pembangunan komuniti di masa hadapan.

“Apabila kita mempunyai objektif yang sama, kita dapat melihat kesepakatan dalam mencapai satu matlamat bersama. Ini adalah asas penting yang perlu diterapkan dalam setiap lapisan masyarakat.

“Dengan semangat kesepakatan ini, DUN Kukusan terus komited membangunkan masyarakat yang bersatu dan harmoni,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama