Lelaki warga China lemas, selepas aktiviti menyelam

Foto ihsan: Polis Daerah Semporna


SEMPORNA : Pelancong lelaki warganegara China meninggal dunia selepas melakukan aktiviti menyelam di kawasan perairan Pulau Mabul, di sini, tengah hari semalam.

Ketua Polis Daerah Semporna Superintenden Mohd Sobri Zainol berkata, laporan berhubung kejadian itu diterima kira-kira jam 2.36 petang.

Menurutnya, pengadu yang juga jurulatih selam bersama seorang lagi jurulatih telah membawa sekumpulan lima pelancong untuk melakukan aktiviti menyelam pada kedalaman 12 meter di kawasan perairan berkenaan pada jam 10.50 pagi. 

"Selepas aktiviti menyelam selesai kira-kira 12.50 tengah hari dan semua penyelam termasuk mangsa yang berumur 34 tahun telah naik ke atas bot dan menyerahkan peralatan menyelam masing-masing.

"Tidak lama kemudian mangsa bagaimanapun dilihat masih berenang berlegar-legar di permukaan air sekitar bot sebelum dia gagal dikesan," katanya menerusi kenyataan media, lewat malam tadi.

Mohd Sobri berkata, selepas pencarian dilakukan mangsa kemudiannya telah ditemui terapung di permukaan air dengan keadaan badan dan muka telangkup dalam air.

Jelasnya, dengan bantuan penyelam yang lain telah mengangkat mangsa ke atas bot dan cuba memberi bantuan pernafasan sebelum dibawa ke Hospital dan disahkan telah meninggal dunia oleh pegawai perubatan bertugas.

"Berikutan itu, satu kertas siasatan yang diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) dibuka dan proses bedah siasat akan dijalankan dalam tempoh 48 jam sekiranya tiada waris tampil menuntut mayat lelaki terbabit," katanya.

Sehubungan itu, pihak polis meminta orang ramai atau saksi yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu supaya menghubungi pegawai penyiasat Asisten Superintenden Mohammad Ali Amat di talian 013-2120852 atau tampil di mana-mana balai polis dan ibu pejabat polis daerah yang berhampiran.



Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama