![]() |
Sidang media PKR Sabah di Hyatt Regency, di sini hari ini. |
KOTA KINABALU: Perbuatan parti politik yang mengumumkan calon lebih awal sebelum membuat sebarang rundingan disifatkan berpotensi menutup ruang kerjasama dengan parti atau gabungan lain.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud berkata perbuatan sedemikian mampu menimbulkan konflik berbentuk perselisihan yang tidak diingini.
"Saya fikir kalau boleh tidak menamakan calon-calon ini lebih awal sebelum (menjalin) kerjasama mungkin lebih baik. Sebab kalau tidak, akan mewujudkan pergeseran (perselisihan) yang tidak diingini.
"Tapi kita tidak boleh menghalang dan disiplin kita penting. Datuk Christina (Ketua Biro Politik PKR Sabah) menasihatkan kita bahawa kita mahu jaga integriti kita. Kita tidak akan umum (calon) tanpa berunding sebab itu prosesnya.
"Kita kena memahami, kalau mahu bekerjasama dengan mana-mana (pihak) macam kami, bekerjasama dengan PH, kita hargai dan alu-alukan dalam proses tersebut. Jangan umum sana umum sini. Itu ertinya menutup ruang kerjasama," katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media khas bertempat di Hyatt Regency, di sini, hari ini.
Walau bagaimanapun, beliau turut menyatakan tidak berhak menghalang mana-mana parti khususnya yang ingin menjalin kerjasama dengan pihaknya.
"Saya fikir itu adalah asas kita kena faham tentang rakan kerjasama. Tapi kita pun tidak menghalang mana-mana pihak untuk membuat pengumuman.
"Lebih baik kalau berunding dulu dengan baik, kita dapat kerusi itu baru kita umumkan mana-mana calon," katanya.