Lelaki warga asing ditahan guna Mykad orang lain

Pihak polis daerah Tawau menahan seorang lelaki warga asing di Batu 5, Jalan Apas, Tawau. 


TAWAU: Seorang lelaki warga asing ditahan polis selepas didapati menggunakan kad pengenalan (MyKad) milik orang lain dalam satu pemeriksaan di kawasan Batu 5, Jalan Apas, Tawau, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, suspek yang berusia lingkungan 20-an ditahan kira-kira jam 2.45 petang oleh sepasukan anggota polis Tawau ketika menjalankan rondaan cegah jenayah di kawasan tersebut.

“Ketika pemeriksaan dilakukan, suspek berumur lingkungan 20-an itu menyerahkan sekeping dokumen pengenalan diri (MyKad) yang bukan miliknya,” katanya.

Menurutnya, semakan melalui sistem Integrated Police Reporting System (IPRS) Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendedahkan bahawa MyKad berkenaan telah dilaporkan hilang di daerah Kota Kinabalu, Sabah.

“Suspek ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau untuk siasatan lanjut di bawah Peraturan 25(1)(o) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) yang membawa hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan,” tambahnya.

Jasmin turut menegaskan bahawa pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang cuba menggunakan dokumen palsu atau milik orang lain untuk tujuan yang menyalahi undang-undang.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama