Ibu maut, anak selamat tanah runtuh di Sepanggar

Beberapa anggota bomba bertungkus lumus mengeluarkan mangsa yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh. 



KOTA KINABALU: Seorang wanita berusia 53 tahun disahkan maut selepas tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Lok Banu, Sepanggar awal pagi tadi.

Menurut Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah, PBK II KUP Musa Kunjan, kejadian malang itu berlaku sekitar jam 4.30 pagi, dipercayai akibat hakisan tanah yang menyebabkan sebuah rumah jenis tidak kekal tertimbus sepenuhnya.

Katanya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 4.32 pagi sebelum sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu segera dikejarkan ke lokasi kejadian.

Musa menjelaskan bahawa kediaman yang berkeluasan 10x15 kaki itu mengalami kemusnahan sepenuhnya. Operasi menyelamat menemukan dua mangsa terlibat dalam kejadian runtuhan tersebut.

“Terdapat 2 orang mangsa yang terlibat dalam kejadian itu. Salah seorang mangsa wanita yang tertimbus berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba.

“Mangsa seorang wanita disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan KKM selepas pemeriksaan dilakukan. Mayat mangsa diserahkan kepada pihak PDRM untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan di laman rasmi media sosial milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia hari ini.

Sementara itu, mangsa kedua, seorang lelaki berusia 25 tahun yang merupakan anak kepada mangsa wanita tersebut, terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Setelah memastikan tiada lagi bahaya lain yang wujud, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.00 pagi,” tambahnya.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama