![]() |
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Kadzim M Yahya ketika dalam satu sidang media bertempat di bangunan DUN Sabah. |
KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, Datuk Peter Anthony mempunyai masa selama 14 hari untuk menggunakan saluran perundangan (legal avenue) sebelum kerusinya bakal dikosongkan secara automatik.
Speaker DUN Sabah, Datuk Kadzim M Yahya berkata tempoh terbabit telah berkuat kuasa bermula semalam susulan penolakan rayuan Peter bagi kes berkaitan pemalsuan dokumen oleh Mahkamah Rayuan.
Semalam, media melaporkan Bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah itu dipenjara tiga tahun serta didenda RM50,000 atas kesalahan memalsukan dokumen berhubung kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada 11 tahun lalu.
Dalam satu sidang media khas yang diadakan hari ini, Kadzim berkata pihaknya telah mengambil maklum mengenai perkara terbabit.
"Saya mengambil maklum bahawa rayuan kes jenayah bagi Datuk Peter Anthony, ADUN Melalap telah ditolak oleh mahkamah rayuan pada 4 Mac 2025 (semalam). Dalam hal ini, perintah sabitan dan hukuman yang telah dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen telah dikekalkan Mahkamah Rayuan.
"Mengikut Perkara 17(1) (e) di bawah Perlembagaan Negeri Sabah, mana-mana Ahli Dewan Undangan yang disabitkan atas kesalahan oleh Mahkamah di Persekutuan dan dihukum penjara untuk tidak kurang dari setahun atau denda sebanyak tidak kurang RM2,000 akan hilang kelayakan sebagai seorang Ahli Dewan Undangan.
"Namun peruntukan tersebut hendaklah dibaca bersama-sama dengan peruntukan-peruntukan lain dibawah Perlembagaan Negeri Sabah yang berkaitan dengan kehilangan kelayakan seorang Ahli Dewan Undangan.
"Oleh yang demikian, status Datuk Peter Anthony sebagai Ahli Dewan Undangan bagi kawasan N.35 Melalap akan diputuskan setelah kesemua peruntukan undang-undang berkaitan dengan perkara tersebut telah dipenuhi," katanya.