![]() |
Suspek disyaki pengedar dadah ditahan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik IPD Tawau, kira-kira jam 5.30 petang semalam. Foto | Ihsan PDRM. |
TAWAU : Seorang lelaki disyaki pengedar dadah berdepan hukuman mati selepas ditahan bersama dadah jenis syabu bernilai RM8,000 dalam serbuan Ops Tapis di Kampung Kurnia Jaya, Batu 4 Jalan Apas di sini, petang semalam.
Suspek lelaki warga asing berumur 30 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau kira-kira jam 5.30 petang.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek yang memakai beg silang berwarna hitam sebelum itu dilihat dalam keadaan mencurigakan sedang berlegar-legar di kawasan berkenaan.
"Bagaiamanapu, lelaki itu yang menyedari kehadiran pasukan polis bertindak melarikan diri sambil mencampak beg silang di atas tanah sebelum berjaya ditahan selepas berlaku pergelutan.
"Hasil pemeriksaan keatas beg silang itu menemukan 15 paket plastik lutsinar dengan setiap satunya mengandungi hablur jernih disyaki dadah jenis syabu keseluruhan dianggarkan seberat 83.43 gram," katanya menerusi kenyataan media di sini hari ini.
Jasmin berkata, semakan lanjut mendapati suspek tidak memiliki sebarang rekod jenayah lampau selain hasil ujian saringan air kencing didapati negatif.
Bagaiamanapun katanya siasatan lanjut masih dijalankan dan suspek kini ditahan reman mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 Berbahaya 1952.
"Jika sabit kesalahan boleh dihukum mati dan jika tidak dikenakan hukuman mati boleh dipenjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada 15 kali," katanya.