Kes rasuah RM2.8 juta: Pendengaran permohonan gantung bicara bela diri Bung, Zizie 9 April Ini

Bung (kanan), Zizie (kiri), ketika ditemui media di Mahkamah Sesyen, semalam. 

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini, semalam telah menetapkan tarikh 9 April untuk mendengar permohonan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad bagi menggantung prosiding pembelaan mereka terhadap tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta.

Memetik sumber Bernama, Hakim Rosli Ahmad menetapkan tarikh terbabit selepas peguam Teh See Khoon memaklumkan pihak pembelaan telah memfailkan semakan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang memerintahkan pasangan itu membela diri atas pertuduhan berkenaan.

"Pihak kami (pembelaan) telah memfailkan semakan pada 21 Mac lepas di Mahkamah Rayuan, namun ia masih dalam proses.

"Pihak pembelaan juga telah memfailkan permohonan menggantung perbicaraan di mahkamah ini (Mahkamah Sesyen)," kata peguam yang mewakili Bung Moktar dan Zizie Izette, yang dikecualikan kehadiran semasa sebutan kes hari ini.

Sementara itu Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Fadhly Mohd Zamry mengesahkan perkara itu dan memohon supaya tarikh perbicaraan yang ditetapkan sebelum ini pada 9 April dikekalkan.

"Pihak pemohon (Bung Moktar dan Zizie Izette) telah memfailkan semakan di Mahkamah Rayuan.

"Oleh itu saya cadangkan pendengaran permohonan menggantung perbicaraan ditetapkan pada 9 April, maka tidak perlu ditetapkan tarikh lain," kata Mohamad Fadhly, manakala Teh tidak membantah cadangan pihak pendakwaan itu.

Mahkamah Rayuan pada 18 November tahun lalu memerintahkan Bung Moktar dan isterinya Zizie Izette membela diri terhadap tiga pertuduhan rasuah berkenaan.

Ia selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan pasangan itu yang diputuskan Mahkamah Tinggi di sini pada 7 September 2023.

Sebelum ini, dilaporkan pada 2 September 2022, Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob memerintahkan Bung Moktar dan Zizie Izette membela diri atas tiga pertuduhan rasuah itu, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap mereka di akhir kes pendakwaan.

Bung Moktar, 65, yang ketika itu merupakan Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra Berhad didakwa pada 3 Mei 2019, dengan dua pertuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan untuk mendapatkan kelulusan Felcra melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Bung Moktar dituduh menerima rasuah daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad Madhi Abdul Hamid menerusi Zizie Izette, 46, di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari hingga 5 petang 12 Jun 2015.

Disamping itu, Bung Moktar juga dituduh secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM337,500 daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad Norhaili Ahmad Mokhtar melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) yang didaftarkan atas nama Zizie Izette bagi tujuan yang sama.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama