![]() |
Pasukan anggota bomba Kota Belud mengangkat mangsa yang ditemui lemas di Sungai Kampung Pirasan, pagi tadi. |
KOTA BELUD: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang ketika melakukan aktiviti menyelam menangkap ikan bersama empat lagi rakannya di Sungai Kampung Pirasan, di sini ditemui lemas, awal pagi tadi.
Mangsa berusia 29 tahun itu ditemui oleh penduduk kampung kira-kira jam 8.30 pagi di lokasi mangsa dilaporkan hilang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) PPgB Muhammad Syazwan Latun berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu dari talian balai pada jam 2.19 pagi.
Katanya, sepasukan 10 anggota yang diketuai Komander Operasi Hasmaddy Agum digerakkan ke lokasi kejadian untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
“Menurut laporan yang diterima, mangsa bersama lagi empat rakannya keluar melakukan aktiviti menyelam menangkap ikan pada jam 1.20 pagi.
“Bagaimanapun, mangsa disedari tidak timbul pada jam 1.30 pagi, sebelum rakannya cuba mencari dengan menyelam tapi tidak berjaya,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.
Muhammad Syazwan berkata, pasukan bomba melakukan operasi SAR dengan kaedah ‘Surface’ pada jarak 200 meter dari kawasan mangsa dilaporkan hilang.
“Mangsa ditemui oleh orang kampung pada jam 8.30 pagi di sekitar sungai berkenaan, sebelum pasukan bomba membantu mengangkat mangsa ke tepi Sungai.
“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk lanjut dan operasi ditamatkan pada jam 8.50 pagi,” katanya.