APMM tahan 11 nelayan, rampas dua Vesel Nelayan tempatan


SANDAKAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya menahan 11 nelayan serta merampas peralatan perikanan yang digunakan secara tidak sah dalam dua kes berasingan, semalam.

Semua tangkapan dan rampasan itu dilakukan menerusi Op Khas Cegah PATI/ Op Pluto Timur dan Op Tiris di sekitar perairan Sandakan sehingga Kinabatangan.

Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy Hussain berkata kes pertama membabitkan Vesel Nelayan Tempatan (VNT) di Tanjung Layar-layar, Sandakan, kira-kira jam 8 pagi.

Katanya, hasil pemeriksaan, vesel tersebut didapati melanggar syarat sah lesen kerana menggunakan lampu pengumpul ikan yang dilabuhkan ke dasar dalam jarak kurang daripada 12 batu nautika dari tanah besar

“Sembilan individu termasuk tekong dan anak kapal telah ditahan. Mereka terdiri daripada seorang warga tempatan dan lapan bukan warganegara dengan pelbagai dokumen pengenalan diri yang meragukan.

“Selain itu, pelbagai peralatan dan bahan bukti telah dirampas, termasuk vesel nelayan, lampu pengumpul ikan, lesen perikanan, serta hasil laut anggaran 100 kilogram,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.

Menuruntya, kes kedua pula membabitkan sebuah VNT yang didapati sedang menarik pukat tunda di luar kawasan yang dibenarkan di perairan Kinabatangan Kecil, pada jam 12.28 tengah hari. 

“Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat dua orang di atas vesel tersebut, dengan seorang daripadanya warganegara Malaysia dan seorang lagi bukan warganegara. 

“Turut dirampas dalam kejadian itu termasuklah pukat tunda, papan tunda, GPS, serta hasil laut berupa ikan dan udang,” katanya. 

Beliau berkata, semua yang ditahan serta barang rampasan di bawa masuk ke Jeti Zon Maritim Sandakan dan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat untuk tindakan lanjut.

“Kedua-dua kes berkenaan disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Muhamad Suhairy berkata, kedua-dua operasi ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan APMM untuk mengekang aktiviti perikanan haram dan memastikan semua nelayan mematuhi undang-undang imigresen negara.

“Komuniti maritim diingat supaya sentiasa bekerjasama dengan Maritim Malaysia dalam menyalurkan sebarang maklumat berkaitan dengan aktiviti menyalahi undang-undang atau kecemasan di laut.

“Maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi terus bilik operasi 24 jam Zon Maritim Sandakan di talian 089-229504 atau talian kecemasan 999,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama