WARISAN yang angkuh yakin boleh menang kerusi tanpa PH - Razeef

Azis (kiri), Razeef (kanan).

KOTA KINABALU: Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyifatkan Parti Warisan (WARISAN) bersikap angkuh dengan menyatakan bahawa boleh memenangi lebih kerusi tanpa Pakatan Harapan (PH) dan mendakwa PH menumpang kekuatan WARISAN semasa Pilihan Raya Umun ke-14 (PRU14).

Ketua Penerangan Keadilan Sabah, Razeef Rakimin berkata pihaknya mengambil maklum WARISAN menerusi kenyataan media yang dikeluarkan oleh Ketua Penerangannya, Datuk Azis Jamman yang menjelaskan kesetiaan dan dukungan pihaknya terhadap Kerajaan Perpaduan.

"Saya juga maklum WARISAN menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berlakunya Langkah Sheraton. Namun sebelum itu WARISAN menyokong Tun Mahathir yang jelas mengambil tindakan bodoh meletakkan jawatan.

"WARISAN tahu mereka akan ditunggang seperti keldai jika bersama Perikatan Nasional. Maka sokongan mereka terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim pada ketika itu adalah kerana 'tiada pilihan lain'.

"Namun saya ingin memperbetulkan beberapa kenyataan antaranya Warisan adalah pihak yang mula-mula meninggalkan Pakatan Harapan (PH) ketika memilih untuk bertanding solo pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu.

"Malah WARISAN mula bergerak solo selepas memilih untuk bertanding dalam PRN Johor sehingga semua calon WARISAN hilang deposit

"Pada PRU15 WARISAN begitu angkuh dengan menyatakan bahawa mereka boleh memenangi lebih kerusi tanpa PH kerana bagi mereka PH menumpang kekuatan Warisan semasa PRU-14. Malah dengan penuh yakin mereka meletakkan calon di Semenanjung," katanya dalam satu kenyataan media.

Mengulas lanjut, selepas WARISAN meletakkan calon di lebih 50 kerusi, Warisan jelas ditolak apabila hanya memenangi tiga kerusi dan kehilangan lima kerusi yang disandang termasuk Azis Jamman dan Timbalan Presiden mereka, Darell Leiking.

"Warisan tidak harus menuding jari pada PH seolah PH meninggalkan WARISAN sedangkan WARISAN sendiri meninggalkan PH di Sabah.

"Malah Datuk Seri Shafie Apdal (Presiden WARISAN) sendiri dalam beberapa kenyataan dengan jelas mengatakan akan lawan PH di Sabah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang. Maka tidak hairan banyak pihak akan meragui kesetiaan WARISAN.

"WARISAN juga tidak boleh menuding jari menyalahkan PH yang menyokong kerajaan negeri ketika cubaan WARISAN dan Barisan Nasional (BN) menumbangkan kerajaan negeri Sabah dalam 'Langkah Kinabalu'.

"Kita telah membentuk kerajaan perpaduan bersama dan PH lebih berminat untuk bersama membangunkan negeri ini berbanding mengambil langkah yang mengganggu gugat kestabilan politik seterusnya merencatkan usaha pemulihan ekonomi pasca COVID-19," katanya.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama