Lapan geng pecah kedai, curi di Kota Marudu tumpas


KOTA MARUDU: Seramai lapan remaja lelaki ditahan pagi tadi selepas disyaki terlibat dalam kegiatan jenayah pecah masuk kedai dan curi, di daerah ini.

Semua remaja berusia 13 hingga 17 tahun itu ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Marudu di tiga lokasi berbeza. 

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Simiun Lomudin berkata sebelum itu, pihaknya menerima laporan mengenai kes jenayah yang berlaku di daerah ini. 

Katanya, pasukan polis terus menjalankan Op Kesan / Op Pintu bagi mengesan semua suspek terbabit.

"Dalam operasi berkenaan, seramai lapan remaja ditahan dipercayai terlibat dalam kes pecah kedai dan kes curi yang berlaku di daerah ini.

"Semua suspek kini ditahan reman dan kes disiasat dibawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini. 

Simiun berharap kerjasama berterusan daripada orang ramai menyalurkan maklumat kepada pihak polis dalam usaha membanteras kes jenayah dan dadah di daerah ini. 

"Usaha berterusan akan dilaksanakan bagi memastikan masyarakat berasa selamat dan selesa di daerah ini," katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama