Penunggang maut, dua motosikal bertembung

  

Mangsa di lokasi kejadian.

LAHAD DATU: Dua lelaki warga asing maut selepas motosikal bertembung dalam kemalangan di Jalan Felda Sahabat 40, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 6.15 petang, mangsa warga Indonesia berusia 43 tahun dan remaja warga Filipina berusia 17 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintenden Jimmy Panyau berkata kemalangan berlaku ketika penunggang warga Indonesia terbabit dalam perjalanan dari arah Felda Sahabat 30 menuju ke Kembara Sakti.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, tiba-tiba motosikal ditunggang remaja berkenaan dari arah bertentangan dipercayai telah hilang kawalan lalu bertembung dengan motosikal warga Indonesia terbabit.

“Akibat daripada kemalangan itu, kedua-dua penunggang terbabit cedera parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.

Menurutnya, mayat kedua-dua mangsa terbabit dibawa ke Hospital Lahad Datu menggunakan kenderaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk proses bedah siasat.

“Sampel darah kedua-dua mangsa juga telah diambil untuk dihantar ke Jabatan Kimia Kota Kinabalu bagi ujian alkohol dan dadah. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Humaidi Harun di talian 098-881255 atau terus ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama