121 Pati warga Indonesia dihantar pulang, sambut syawal di kampung halaman

Sebahagian daripada 121 PATI warga Indonesia yang dihantar pulang ke negara asal hari ini. Foto | Ihsan JIM Sabah.

TAWAU : Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menghantar pulang seramai 121 pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Indonesia menerusi Operasi Pemindahan Tahanan ke Negara Asal, semalam.

Operasi pemindahan itu membabitkan tahanan daripada Depot Imigresen Tawau, melalui Terminal Feri di sini, ke destinasi asal di Pulau Nunukan Indonesia menggunakan Perkhidmatan Feri Francis Express.

Pengarah Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof berkata, semua Pati terdiri daripada pelbagai peringkat umur itu termasuk kanak-kanak berumur seawal lima tahun turut diiringi oleh ibu bapa atau penjaga sah masing-masing.

"Kesemua mereka telah selesai menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang yang telah ditetapkan.

"Selain itu, untuk melayakkan mereka mengikuti proses pemindahan tahanan ke negara asal, kesemua Pati ini mempunyai Sijil Perjalanan Laksana Paspor (SPLP) yang sah yang dikeluarkan oleh pihak Konsulat Republik Indonesia (KRI)," katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan malam ini.

Dalam pada itu jelasnya, jumlah Pati warga Indonesia yang berjaya dipindahkan ke negara asal adalah seramai 773 orang dan menjadikan jumlah keseluruhan tahanan Pati yang dihantar pulang ke negara asal seramai 2,821 orang sehingga hari ini.

Menurutnya, tindakan pendakwaan akan dikenakan terhadap majikan serta pemilik premis yang menggaji warga asing tanpa dokumen perjalanan dan pas atau permit yang sah.

"Majikan yang mahu mengambil warga asing untuk bekerja di negara ini adalah dinasihatkan supaya mengikut saluran undang-undang sedia ada.

"Jabatan ini akan mempergiat operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa dalam membanteras kehadiran Pati di negara ini," tegasnya.







Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama