PBS bersedia hadapi PRN17, komited perkukuh kedudukan Sabah

Joachim menyampaikan cendera kenangan payung PBS kepada pengasas PBS, Tan Sri Pairin Kitingan (tengah) - ihsan PBS


KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) bersedia menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) yang dijangka diadakan pada bila-bila masa tahun ini bagi memastikan Sabah terus berada di landasan politik stabil dan kukuh.

Pemangku Presiden PBS, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam berkata persiapan menghadapi PRN ke-17 merupakan fasa penting dalam memastikan Sabah terus berada di landasan politik yang stabil dan kukuh. 

“PBS, dengan kekuatan dan pengalaman yang dimiliki, tekad untuk mempertahankan tujuh kerusi yang telah dimenangi sebelum ini dan juga bersedia untuk memperluaskan pengaruhnya dengan meraih lebih banyak kerusi dalam PRN akan datang. 

“Sebagai parti yang mewakili semua etnik, PBS yakin bahawa kekuatan kepelbagaian ini akan menjadi asas kepada kemenangan yang lebih besar,” katanya ketika berucap pada sambutan ulang tahun ke-40 PBS di Hakka Hall, Tanjung Lipat, di sini, semalam.

Beliau turut menekankan perundingan lebih teliti dan saksama bakal diadakan, khususnya dalam soal pembahagian kerusi antara komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Perancangan yang rapi ini akan memastikan tiada pertindihan atau perpecahan undi yang boleh memberi kelebihan kepada parti lawan.

"Lebih penting lagi, GRS harus memperkukuhkan kedudukannya sebagai pejuang hak rakyat Sabah, dengan bertanding sebanyak mungkin kerusi dan mengelakkan dominasi parti-parti luar yang mungkin tidak memahami aspirasi sebenar rakyat negeri ini,” katanya.

Dalam pada itu, Joachim turut berkata pihaknya percaya bahawa kesepakatan dalaman amat penting bagi menghadapi cabaran luar.

“Kita dalam PBS percaya bahawa GRS dapat mengekalkan perpaduan dan mengelakkan sebarang konflik dalaman, dan seterusnya akan memenangi lebih banyak kerusi yang dipertandingkan. 

"Ini bukan sahaja akan memastikan kestabilan politik, malah memberi peluang terbaik untuk memperbetulkan segala kelemahan yang telah melanda politik Sabah selama ini,” katanya.

Beliau menegaskan PBS yang merupakan sebagai salah satu tonggak utama GRS akan terus berpegang teguh kepada prinsip memperjuangkan hak rakyat Sabah dan menjaga kepentingan negeri ini.

“PRN17 akan menjadi medan yang menentukan masa depan Sabah, dan dengan persiapan yang teliti serta strategi yang ampuh.

"Kita berada di landasan yang betul untuk mengembalikan kestabilan dan kemajuan yang diimpikan oleh semua rakyat Sabah,” katanya.



Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama