![]() |
Rina, pada program Rakan Demokrasi Kuasa Orang Muda, di Kolej Komuniti Tawau, semalam. |
TAWAU: Kerajaan terus komited dalam memperkasakan golongan belia dengan memberi kesedaran tentang kuasa demokrasi mereka melalui pelbagai inisiatif pendidikan politik.
Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Sabah, Datuk Rina Haji Jainal berkata, golongan belia perlu diberikan pemahaman kerana mereka adalah masa depan negara.
Katanya, program seperti Rakan Demokrasi Kuasa Orang Muda bagi membentuk pemikiran belia lebih matang dan bertanggungjawab dalam proses demokrasi negara adalah satu inisiatif yang tepat.
“Kami telah menjelajah di seluruh Sabah, Sarawak dan Labuan, termasuk institusi pendidikan seperti kolej komuniti serta sekolah menengah.
“Ia bagi mendekati anak muda serta memberikan pendedahan tentang hak dan tanggungjawab mereka dalam sistem demokrasi negara,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukusan berkata demikian ketika hadir dalam program Rakan Demokrasi Kuasa Orang Muda, di Kolej Komuniti Tawau, di sini, semalam.
Menurutnya, masih ramai lagi belia di negeri ini yang tidak peka terhadap isu politik semasa, malah tidak mengenali wakil rakyat di kawasan mereka sendiri.
“Kita dapati ramai anak muda yang tidak berminat atau mengambil tahu tentang kepimpinan tempatan mahupun dasar kerajaan yang memberi kesan kepada kehidupan mereka.
“Justeru, dengan adanya program sebegini sekurang-kurangnya dapat menyuntik kesedaran kepada anak-anak muda bahawa undi ini memberi impak yang sangat besar kepada diri mereka,” katanya.
Rina berkata, dalam program ini, belia diajar tentang struktur pentadbiran negara, proses pilihan raya, dan impak keputusan mereka terhadap sosioekonomi serta dasar kerajaan.
“Simulasi pilihan raya turut diadakan bagi memberi pengalaman sebenar tentang bagaimana sistem demokrasi berfungsi,” katanya.
Beliau berharap usaha sebegini tidak terhenti di sini, sebaliknya diperluaskan agar lebih ramai belia dapat memahami kepentingan peranan mereka sebagai rakyat dalam menentukan hala tuju negara.
“Kerajaan perlu terus mengambil langkah ke hadapan dengan memperbanyakkan program pendidikan politik seperti ini.
“Ia sekali gus dapat membentuk generasi muda yang lebih bijak, rasional, dan bertanggungjawab dalam membuat keputusan,” katanya.
Rina turut menegaskan bahawa program ini bukan bertujuan memihak kepada mana-mana parti, sebaliknya memberi pendedahan teknikal dan pendidikan tentang sistem demokrasi di Malaysia.
“Kita mahu anak muda lebih berfikiran terbuka, tidak mudah terpengaruh dengan propaganda atau berita sensasi di media sosial.
“Mereka perlu tahu bagaimana kerajaan berfungsi dan bagaimana undi mereka memberi kesan kepada masa depan negara,” katanya.
Terdahulu, program ini telah menjelajah ke lebih 20 lokasi di seluruh Borneo, termasuk Sabah, Sarawak, dan Labuan.
Kejayaan inisiatif ini menunjukkan pentingnya usaha kerajaan dalam membentuk masyarakat yang lebih cakna terhadap hak dan tanggungjawab mereka sebagai pengundi.