APMM gagalkan cubaan aktiviti curi terumbu karang

Foto ihsan: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.


SEMPORNA: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menggagalkan cubaan mengambil terumbu karang secara haram di perairan Tanjung Tabu Tabu, di sini pada Khamis.

Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Amir Shubli berkata pihaknya mengesan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan di perairan tersebut.

Katanya, pasukan operasi Bot Cenderawasih 09 yang sedang menjalankan Op Pluto Timur segera menghampiri bot tersebut untuk menjalankan pemeriksaan.

“Namun juragan bot terbabit bertindak melarikan diri dengan terjun ke laut dan memasuki hutan bakau berhampiran.

“Pemeriksaan ke atas bot tersebut menemukan terumbu karang yang dimuatkan ke dalam tiga buah kotak dalam jumlah yang mencurigakan,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

Amir berkata, bot tanpa nombor pendaftaran itu disyaki terlibat dalam aktiviti perikanan haram secara haram di perairan tersebut. 

“Bot beserta enjin dan semua terumbu karang yang dianggarkan bernilai RM13,000 telah dirampas untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985, dan pasukan APMM sedang mengesan dalang di sebalik kegiatan tersebut,” katanya.

Beliau berkata, APMM memandang serius aktiviti pengambilan sumber marin secara haram yang boleh menjejaskan ekosistem laut.

“Justeru kami akan terus memperketatkan penguatkuasaan dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang aktiviti mencurigakan di perairan negara digesa untuk menyalurkannya kepada Maritim Malaysia menerusi talian kecemasan 999 atau Zon Maritim Semporna di talian 089-782521 untuk tindakan segera,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama