UMNO bukan penceroboh, bawa banyak pembangunan ke Sabah, kata pemimpin UMNO Sabah

Samasuddin

KOTA KINABALU: Penolong Ketua Penerangan UMNO Sabah, Samasuddin Yusop menafikan UMNO sebagai 'penceroboh' seperti yang dilabelkan segelintir pihak sebaliknya merupakan parti politik yang telah membawa pembangunan ke negeri ini.

Katanya, UMNO memasuki Sabah pada 5 Februari 1991 bukan kerana paksaan, tetapi atas permintaan pemimpin dan rakyat Sabah sendiri yang mahukan kestabilan politik dan pembangunan yang lebih mampan.

"Keputusan ini didorong oleh pemimpin tempatan seperti Tun Datu Mustapha Datu Harun, Tun Said Keruak, dan Tun Sakaran Dandai, yang melihat kehadiran UMNO sebagai langkah penting untuk mengangkat suara Sabah di peringkat nasional dan memastikan pembangunan yang lebih seimbang.

"Tun Sakaran Dandai pernah menegaskan bahawa “UMNO datang bukan untuk mengambil hak rakyat Sabah, tetapi untuk memastikan hak itu terus terpelihara dalam arus pembangunan negara berdasarkan petikan ucapannya di Dewan Rakyat pada tahun 1991.

"Sejak kemasukan UMNO, Sabah mengalami transformasi besar dalam infrastruktur, pendidikan, ekonomi, serta peluang pekerjaan, terutama dalam memastikan hak-hak rakyat Sabah terjamin di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). 

"UMNO memainkan peranan utama dalam membawa pelbagai projek pembangunan seperti jalan raya luar bandar, bekalan elektrik dan air bersih, serta pembangunan institusi pendidikan tinggi seperti Universiti Malaysia Sabah (UMS)," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, semalam.

Dalam pada itu, beliau turut berkata UMNO juga membuktikan komitmen dalam memperjuangkan kestabilan politik yang menjadi asas kepada kemajuan negeri ini. 

"Dengan penyertaan UMNO, Sabah mendapat wakil yang lebih kuat dalam kerajaan Persekutuan, memastikan suara rakyat Sabah sentiasa didengar dan kepentingan negeri terus dibela.

"Sejarah membuktikan bahawa kehadiran UMNO di Sabah telah menjadi pemacu kepada kestabilan, kemajuan, dan kesejahteraan rakyat. 

"UMNO bukan penceroboh, tetapi rakan perjuangan rakyat Sabah dalam membina negeri yang lebih maju, makmur, dan dihormati di peringkat nasional serta antarabangsa," katanya.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama