JIM Sabah hantar pulang 184 warga Filipina, 10 warga Pakistan ke negara asal guna biaya sendiri

Seramai 184 warganegara Filipina dihantar pulang ke destinasi asal di Bongao dan Manila, Filipina. 


KOTA KINABALU: Seramai 184 warganegara Filipina dan 10 warganegara Pakistan dihantar pulang ke negara asal melalui Program Pembiayaan Sendiri, menurut Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah. 

Menurut Pengarah Imigresen Negeri Sabah, Datuk Should Sitti Saleha Habib Yussof berkata, pemindahan tersebut dilakukan sebelum bermulanya ibadah puasa pada Ahad ini, membabitkan tahanan PATI yang berumur antara 2 tahun hingga 75 tahun.

Katanya, 184 warganegara Filipina telah dihantar pulang ke destinasi asal mereka di Bongao dan Manila, Filipina. 

Sementara itu, 10 warganegara Pakistan turut dipindahkan ke Islamabad, Pakistan pada minggu yang sama.

Sh Sitti Saleha berkata, jumlah keseluruhan PATI yang berjaya dipindahkan ke negara asal melalui inisiatif ini adalah seramai 1,202 orang. Kesemua mereka telah selesai menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang dan memiliki dokumen perjalanan atau pasport antarabangsa yang sah.

Sh Sitti Saleha turut menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana warganegara asing yang menyalahgunakan pas atau kemudahan yang diberikan.

“Tindakan pendakwaan akan dikenakan kepada majikan serta pemilik premis yang menggaji warganegara asing tanpa dokumen perjalanan dan pas yang sah dan individu yang melakukan pelanggaran ke atas syarat pas atau permit seperti yang termaktub di bawah Akta 155 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya dalam satu kenyataan JIM Sabah, hari ini. 

Jabatan turut menyeru para majikan dan masyarakat untuk mengambil warganegara asing bekerja di negara ini melalui saluran undang-undang yang sah.

“Jabatan ini akan mempergiatkan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa dalam membanteras Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di negara ini,” tambahnya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama