KOTA BELUD: Perpaduan dan kestabilan politik perlu terus dikekalkan kerana ia mampu membawa lebih kemajuan di negeri ini, tegas Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Beliau berkata banyak kejayaan dan inisiatif yang dibuat oleh kerajaan hari ini yang tidak pernah dilaksanakan oleh kerajaan sebelum ini.
“Tiada siapa boleh menafikan bahawa sejak kita mengambil alih kerajaan, banyak kejayaan kita capai daripada pelbagai inisiatif yang dilaksanakan yang tidak pernah dibuat kerajaan sebelum ini.
“Daripada aspek ekonomi hinggalah kepada kesejahteraan rakyat dan pendidikan, telah banyak kita buat. Malah, dasar mesra pelabur telah mewujukan beribu-ribu peluang pekerjaan.
“Oleh itu, jika ada perpaduan dan kestabilan politik, kita dapat memajukan negeri ini. Sebabn itu pentingnya perpaduan dan saya melihat bukan hanya masyarakat Bajausama atau yang beragama Islam saja hadir pada majlis ini, tetapi juga turut dihadiri masyarakat lain termasuk ketua-ketua gereja di Kota Belud,” katanya ketika berucap sempena Majlis Berbuka Puasa bersama Ketua Menteri di Pekarangan Masjid Jamek Kampung Taun Gusi, di sini pada Rabu.
Ketua Menteri berkata, kejayaan dan pelbagai inisiatif yang dilaksanakan kerajaan itu perlu terus diuar-uarkan agar lebih ramai rakyat di peringkat akar umbi tahu usaha yang dibuat kerajaan.
“Saya mahu cakap ini (kejayaan hasil inisiatif kerajaan) kerana mungkin ada yang tidak maklum dengan usaha-usaha kita. Ini kerana pembangkang sangat suka memfitnah dan cakap kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) gagal,” katanya.
Pada majlis Ketua Menteri turut melakukan gimik pelancaran Geran Program Perkhidmatan Tanah Adat Negeri Sabah (PANTAS) Mukim Rosok dan Mukim Keguraan serta menyerahkan geran tanah kepada 55 penerima di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tempasuk.
Sebanyak 16 kampung yang terlibat dalam menerima geran ini dengan jumlah keseluruhan kawasan tanah sebanyak 1,559.8165 hektar bersamaan 3854.39 ekar.