Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, Zeno Tingalan berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian pada pukul 3.26 pagi tadi.
Seramai 13 anggota bomba dari BBP Penampang dan enam anggota bomba dari BBP Putatan digerakkan ke lokasi kejadian.
"Kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis separuh kekal dengan keluasan 50'x40' terbakar 100%.
"Terdapat dua mangsa meninggal dunia disahkan oleh Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) yang terlibat di lokasi.
"Seorang mangsa dipercayai terkena renjatan elektrik dan seorang lagi rentung di dalam rumah," katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, kebakaran dapat dikawal sepenuhnya pada pukul 4.31 pagi.
"Operasi pemadaman menggunakan satu aliran 200 kaki, 2 pancutan menggunakan sumber air terbuka (anak sungai)," ujarnya.